Sabtu, 20 Mei 2017 | 1:26pm

Fina diterima belajar muzik di UPSI

Penyanyi, Nur Zafiena Annisa atau dikenali sebagai Fina bersama ibunya, Rahayu Hassan. - Foto NSTP/Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Bakat baharu yang mula dikenali menerusi rancangan realiti Mentor Milenia 2017, Fina, berkongsi berita gembira apabila dirinya diterima sebagai penuntut peringkat diploma Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam bidang muzik.

Berita itu disampaikan remaja berkenaan kepada BH Online, baru-baru ini, selepas pengumuman keputusan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam bagi calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.

Beliau berkata, dirinya gembira kerana kursus yang ditawarkan, sesuai dengan minatnya yang mendalam terhadap muzik, sejak kecil lagi.

"Saya bersyukur dengan tawaran dan peluang yang sangat bermakna ini dan ia memang kena dengan minat saya.

"Saya mahu membuktikan orang yang ada kekurangan seperti saya juga mampu berjaya dan mencapai cita-cita," kata gadis orang kelainan upaya (OKU) ini.

Pemilik nama sebenar Nur Zafiena Anissa, 18, ini juga seorang komposer muda yang menggunakan muzik sebagai teman rapat berkongsi rasa.

Beliau turut popular dengan lagu Jagakan Dia Untukku, yang mendapat lebih 1.4 juta tontonan di laman YouTube.

Sementara itu, ibu Fina, Rahayu Hassan, 38, kesal dengan komen netizen sebaik anaknya berkongsi berita gembira itu di laman sosial miliknya.

Beliau berkata, ada yang menghina dan menempelak Fina kerana menyambung pengajian dalam bidang muzik, bukannya kursus berkaitan agama.

"Untuk pengetahuan semua, Fina pernah menjuarai pertandingan hafazan lima kali berturut-turut. Apa yang penting, ilmu yang dicari biarlah seimbang," katanya.

Berita Harian X