Khamis, 18 Mei 2017 | 6:50pm

Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KL beroperasi Ogos ini


MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr. S Subramaniam (dua dari kiri) beramah mesra dengan pesakit Nazrun Salleh (duduk, kanan) ketika mengadakan lawatan rasmi di Hospital Kuala Lumpur (HKL). - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (WACH) yang mula dibina tiga tahun lalu, dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya seawal Ogos ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata proses pembinaan hospital dengan kos RM848 juta itu, kini berada pada kadar 99 peratus.

Katanya, pembinaan hospital itu adalah satu daripada beberapa projek pembangunan yang sedang dana akan dijalankan bagi menaik taraf Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Dalam tempoh enam tahun ini, beberapa pembangunan dilaksanakan di HKL bagi meningkatkan kemudahan sedia ada, antaranya adalah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak.

"Apabila siap, semua perkhidmatan bersalin dan kanak-kanak di HKL akan berpindah ke kompleks itu," katanya pada sidang media selepas Lawatan Rasmi Menteri Kesihatan Ke HKL di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain dan Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL, Prof Datuk Seri Dr Abu Hassan Ashaari Abdullah.

Ketika ini, perkhidmatan untuk wanita dan kanak-kanak di HKL dijalankan oleh dua unit berbeza, iaitu Jabatan Obstetrik dan Ginekologi serta Institut Pediatrik, dan WACH akan menggabungkan kedua-dua unit terbabit.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata, beberapa projek pembangunan lain yang akan dilaksanakan di HKL termasuklah pembinaan Kompleks Dewan Bedah bersama Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad tambahan, dijangka membabitkan kos RM198 juta.

"Projek ini dalam proses untuk diluluskan serta perolehan tender. Pembangunannya dijangka bermula dalam beberapa bulan akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaininah berkata dua projek pembangunan HKL dijangka bermula tahun depan, iaitu pembinaan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) yang baharu membabitkan kos RM380 juta dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Satu lagi projek adalah pembinaan bangunan baharu bagi Jabatan Patologi, Rekod Perubatan dan Perkhidmatan Sokongan Perubatan dengan kos RM500 juta dalam tempoh tiga tahun.

Berita Harian X