Rabu, 17 Mei 2017 | 12:49pm

Hak PKR arah letak jawatan - Takiyuddin


DATUK Takiyuddin Hassan. - Foto NSTP

KOTA BHARU: Ahli PKR mempunyai pilihan sama ada mahu meletak jawatan atas kerelaan atau arahan parti untuk mana-mana jawatan dalam kerajaan PAS Kelantan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata tindakan yang dilakukan PKR dengan mengarahkan semua lantikan politik dari parti itu dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan mereka serta-merta, dibenarkan dalam undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, PAS akan membincangkan dengan terperinci keputusan Biro Politik PKR yang dibuat semalam, dalam mesyuarat Majlis Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Kuala Lumpur, esok.

"Dalam konteks PAS sebenarnya, membuat keputusan untuk mengekalkan mereka sama ada sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pemegang jawatan lain yang diwakili PKR.

"Namun, kalau mereka mengambil keputusan tarik diri atau letak jawatan, itu adalah pilihan mereka sendiri," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau diminta mengulas keputusan PKR yang mengarahkan semua lantikan politik dari parti itu dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan mereka serta-merta sebagai tindak balas daripada keputusan PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Mengenai PAS di Selangor, Takiyuddin berkata, beliau berpandangan selagi tiada titah daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tiga EXCO PAS dalam kerajaan negeri itu masih perlu menjalankan tugas demi kepentingan rakyat.

Katanya, ini kerana, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sendiri yang mencadangkan tiga EXCO PAS kepada Sultan Selangor sebelum Baginda melantik mereka membantu negeri.

"Jadi, kalau Azmin sudah tidak mahu khidmat tiga EXCO ini, maka beliau sendiri perlu menghadap Sultan Selangor untuk memberi cadangan sebelum Baginda membuat sendiri keputusan," katanya.

Berita Harian X