Selasa, 16 Mei 2017 | 5:17pm

Sime Darby Motors lupus jenama PSA di Australia, New Zealand

Pengarah Urusan Sime Darby Motors bagi Australia dan New Zealand, Patrick McKenna.

KUALA LUMPUR: Sime Darby Motors mencapai persetujuan untuk menjual unit pengedaran, Sime Darby Automobiles di Australia dan New Zealand.

Syarikat berkenaan adalah pengimport dan pengedar jenama Peugeot, Citroen dan DS di pasaran Australia dan New Zealand.

Anak syarikat milik penuh tidak langsung Sime Darby Motors itu memasuki perjanjian penjualan aset dengan dua syarikat bagi tujuan pelupusan aset berkaitan perniagaan Peugeot dan Citroen di kedua-dua negara berkenaan.

Dua syarikat terbabit ialah Inchcape Australia bagi perniagaan di Australia dan Rick Armstrong Motor Group pula untuk New Zealand.

Berkuat kuasa pada 1 Jun ini, syarikat berkaitan dijangka mengambilalih cabang pengedaran jenama PSA di Australasia.

Pengarah Urusan Sime Darby Motors bagi Australia dan New Zealand, Patrick McKenna, berkata selepas pertimbangan secara berhemah dilaksanakan, syarikat berkenaan memutuskan untuk melupuskan perniagaan pengedaran di Australasia.

"Langkah ini sejajar dengan strategi Sime Darby Motors untuk memberi tumpuan kepada pengembangan jualan runcit kereta dan trak komersial di kedua-dua negara.

"Selepas keputusan dimuktamadkan, KPMG akan mengendalikan proses tender penuh bagi pihak kami, " katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

McKenna berkata, sepanjang proses penjualan itu syarikat itu akan memastikan sebahagian besar kakitangan di kedua-dua negara akan ditawarkan pekerjaan di bawah terma dan syarat sedia ada.

"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada mereka yang terbabit dan semoga berjaya pada masa hadapan," katanya.

Sime Darby Motors adalah unit automotif Sime Darby Bhd dan peneraju dalam perniagaan jualan runcit, pengedaran dan pemasangan di rantau Asia Pasifik dengan beroperasi di 10 negara.

Info:

Australasia

* Rantau Oceania merangkumi Australia, New Zealand dan kepulauan New Guinea

Berita Harian X