Isnin, 15 Mei 2017 | 2:47pm

Tiada arahan letak jawatan EXCO Selangor - PAS


TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: PAS tidak menerima sebarang surat atau panggilan telefon daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berhubung arahan meletakkan jawatan tiga EXCO parti itu dalam barisan kepemimpinan kerajaan negeri itu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim, juga mengesahkan tiada sebarang perbincangan mengenai perkara itu ketika pertemuan Pesuruhajaya PAS yang baharu, Sallehen Mukhyi, dengan tiga EXCO berkenaan.

Katanya, pada masa ini PAS pusat mengambil ketetapan untuk membincangkan perkara itu di mesyuarat parti Khamis ini.

"Pada PAS, ketiga-tiga EXCO itu kekal dalam jawatan mereka kerana seseorang yang memegang jawatan EXCO dilantik atas perkenan Sultan. Selagi Sultan perkenan kita kekal di situ. Hanya Tuanku Sultan yang berhak meminta meletak jawatan atau dipecat walaupun atas cadangan Menteri Besar," katanya.

Beliau mengulas laporan yang menyatakan Mohamed Azmin dilaporkan mengarahkan tiga ahli EXCO negeri daripada PAS untuk meletak jawatan selepas kerjasama politik antara PKR dan PAS diputuskan.  

Berita Harian X