Ahad, 14 Mei 2017 | 12:55am

Sistem kesihatan di Britain pulih

SISTEM kesihatan Britain dilaporkan hampir pulih sepenuhnya daripada gangguan disebabkan serangan siber antarabangsa.- Foto Reuters

LONDON: Sistem kesihatan Britain dilaporkan hampir pulih sepenuhnya daripada gangguan disebabkan serangan siber antarabangsa.

Menteri Dalam Negeri, Amber Rudd berkata, 97 peratus sistem itu mula beroperasi seperti sedia kala.

Bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bertindak krisis atau COBRA, Rudd berkata, serangan itu memberi kesan kepada 48 daripada 248 perkhidmatan kesihatan yang ada.

"Semua perkhidmatan kecuali enam sudah kembali beroperasi malah maklum balas yang diterima sangat memuaskan.

"Kami sudah bersedia dengan pelan bersesuaian untuk tempoh beberapa hari lagi bagi memastikan kesan serangan itu dapat dihadkan," katanya.

Terdahulu Rudd berkata, kerajaan tidak tahu-menahu mengenai dalang serangan terbabit yang turut menyerang beberapa syarikat terkemuka di negara itu.

Gelombang serangan siber semalam yang menjejaskan operasi 99 negara, mengeksploitasi kecacatan yang terdedah dalam dokumen bocor daripada Agensi Keselamatan Negara (NSA) Amerika Syarikat.

Penyerang menggunakan teknik dikenali sebagai ransomware yang mengunci fail pengguna kecuali mereka membayar jumlah ditetapkan dalam bentuk mata wang maya Bitcoin. - Reuters

Berita Harian X