Selasa, 9 Mei 2017 | 11:10pm

Ketua Eksekutif Qantas Airways diserang dengan pai

SEORANG lelaki ditahan oleh pihak keselamatan selepas membaling pai kepada CEO Qantas Alan Joyce semasa ucapan pada majlis sarapan pagi di sebuah hotel di Perth, Australia Barat.- Foto Reuters

SYDNEY: Ketua Eksekutif Qantas Airways Ltd, Alan Joyce, menerima kejutan terbesar apabila mukanya dilumur dengan pai krim pada satu majlis sarapan pagi di barat Australia hari ini, tetapi beliau kekal tenang.

Joyce bercakap pada satu majlis di Perth apabila seorang lelaki berpakaian kemas berjalan menaiki pentas, melumurkan pai pada mukanya, dan berjalan keluar dengan selamba, menurut laporan 7 News.

Motif lelaki tidak dikenali itu tidak diketahui tetapi dia ditahan pengawal keselamatan tidak lama kemudian.

Polis kemudian mengesahkan mengenai serangan di hotel Perth dan seorang lelaki ditahan.

Joyce, pada awalnya kelihatan terkejut dengan kejadian itu tetapi segera mengawal diri dan memberitahu hadirin, beliau tidak tahu mengapa menjadi sasaran, sebelum meninggalkan majlis untuk membersihkan diri, menurut laporan media Australia.

Beliau kemudian memberitahu wartawan tidak tahu jenis pai yang dilumurkan kepadanya.

"Isunya sekarang ini adalah saya memerlukan pengering yang baik sebelum meninggalkan Perth, jadi jika anda memilikinya, cadangkan kepada saya," kata Joyce. - REUTERS

Berita Harian X