Sabtu, 6 Mei 2017 | 12:08am

India lancar Satelit Asia Selatan

NEW DELHI: India melancarkan perkhidmatan komunikasi satelit hari ini untuk dikongsi oleh negara jiran, iaitu sebahagian daripada usaha kerja amal di sekitar rantau itu.

Usaha berkenaan juga adalah sebahagian daripada langkah kerajaan dalam mengekang pengaruh China manakala Pakistan pula mengumumkan bahawa mereka tidak akan mengambil bahagian dalam projek itu.

Perdana Menteri Narendra Modi yang sebelum ini berikrar untuk mengukuhkan hubungan bersama negara jiran seperti Sri Lanka, Nepal dan Pakistan menganggap projek satelit ini sebagai hadiah untuk Asia Selatan.

"Kejayaan pelancaran Satelit Asia Selatan ini ialah satu detik bersejarah buat kita. Ia membuka ruang kerjasama yang baharu," katanya sejurus selepas roket yang membawa satelit itu berlepas dari pusat angkasa Sriharikota di selatan India.

Sehingga setakat ini, Afghanistan, Bangladesh, Bhutan, Nepal, Sri Lanka dan Maldives telah menandatangani perjanjian untuk untuk mengguna pakai satelit terbabit.

Pakistan pula memberitahu bahawa mereka sedang mengusahakan projek satelit sendiri justeru tidak akan menyertai perkongsian itu.

Satelit Asia Selatan itu antara lain menawarkan perkhidmatan stesen televisyen kepada negara peserta, selain teknologi komunikasi untuk mesin ATM dan perkhidmatan digital bagi agensi kerajaan.

Menteri Luar India dilaporkan berkata, ia juga mungkin dijadikan saluran untuk menyediakan perkhidmatan sokongan rangkaian selular khususnya di kawasan yang tidak memiliki isyarat memuaskan. - Reuters

Berita Harian X