Khamis, 4 Mei 2017 | 9:23pm

Bunnabodee dahului golf Amatur Wanita Malaysia

SHAH ALAM: Pemain Thailand, Kan Bunnabodee mempamerkan pukulan cemerlang untuk muncul sebagai pendahulu pada pusingan kedua Kejohanan Golf Terbuka Amatur Wanita Malaysia (MLAO) ke-34 di sini, hari ini.

Pemain remaja berbakat itu berjaya menawan lapangan di Glenmarie Golf and Country Club dengan melakukan tiga bawah par 69 berbanding 71 pukulan, semalam.

Pada aksi di sembilan lubang pertama hari ini, beliau melakukan empat birdie dan dua bogey, sementara pada sembilan lubang kedua, dia mencatat dua lagi birdie dan satu bogey.

"Saya gembira kurang melakukan bogey walaupun permainan saya turun naik. Saya rasa boleh bermain dengan lebih baik pada pusingan hari ini. Saya tidak dapat melakukan pukulan jauh dengan baik," kata pemain 15 tahun dari Chonburi itu, yang mula bermain golf ketika berusia enam tahun.

Dengan kelebihan enam pukulan menjelang pusingan akhir esok, pemain muda Thailand itu tidak mahu memberi tekanan terhadap diri sendiri.

"Saya hanya mahu menampilkan aksi terbaik esok, dan apa jua yang berlaku biarlah ia berlaku," kata Bunnabodee.

Jika pemain remaja Thai itu merangkul kejuaraan esok, ia adalah gelaran ketiganya musim ini selepas muncul juara Kejohanan Terbuka Amatur Wanita Singapura (20-26 Mac) dan Kejohanan Amatur Thailand (24-30 April).

Sementara itu, pendahulu pusingan pertama, Natasha Andrea Oon dari Malaysia berkongsi di tempat kedua bersama pemain Perancis, Vanessa Bouvet dengan keseluruhan 146 pukulan, enam pukulan di belakang Bunnabodee.

Pendahulu pusingan kedua:

140 - Kan Bunnabodee (THA) 71-69;

146 - Vanessa Bouvet (FRA) 74-72, Natasha Andrea Oon (MAS) 69-77;

148 - Mikhaela Fortuna (PHI) 73-75;

149 - Nur Durriyah Damian (MAS) 77-72, Napabhach Boon-in (THA) 76-73;

150 - Kultida Pramphun (THA) 75-75, Sarah Tan (SIN) 75-75, Tvesa Malik (IND) 75-75, Bernice Olivarez-Ilas (PHI) 74-76, Liyana Azizan Durisic (MAS) 74-76; 151 - Warda Amira Abd Rawof (MAS) 74-77.

-- BERNAMA

Berita Harian X