Ahad, 30 April 2017 | 6:33pm

PAS lulus usul tanding di kerusi PKR


PERWAKILAN mendengar ucapan perbahasan dasar presiden daripada pembahas sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Muktamar PAS Ke-63, hari ini meluluskan usul supaya parti itu bertanding di kerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Usul dikemukakan perwakilan PAS Kawasan Kota Raja dan Kuala Terengganu, diluluskan tanpa bahas bersama tujuh lagi usul lain.Pengerusi Lembaga Pemilihan Usul PAS, Nasruddin Hassan Tantawi, berkata tujuh lagi usul lain yang dilulus tanpa bahas adalah menangani Islam liberal; memperkasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), integrasi sistem pendidikan PAS dan mendesak Kerajaan Persekutuan menjaga kebajikan rakyat menangani cabaran kesempitan hidup dengan lebih berkesan.

Turut diluluskan, usul Akta Pentadbiran Harta Pusaka Islam; Perdana Menteri mesti Islam serta usul skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat SRC International.Beliau berkata demikian pada sesi penerangan usul sempena Muktamar PAS Kali ke-63 di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, di sini.

Nasruddin yang juga Ketua Penerangan PAS, berkata sebanyak lima usul diterima untuk perbahasan membabitkan usul pemerkasaan parti; bebaskan Baitul Maqdis, tahaluf siyasi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), FELDA dan Tabung Haji serta keselamatan, menjaga sensitiviti agama dan kaum.

Bagaimanpun, usul pemerkasaan parti ditarik semula selepas ada perwakilan membangkitkan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Berita Harian X