Ahad, 30 April 2017 | 4:20pm

Ribut ujian Allah, jangan spekulasi - PAS

ALOR SETAR: Usah mainkan spekulasi berhubung kejadian ribut yang melanda Kompleks PAS Kedah, semalam sebaliknya menerima kejadian itu sebagai ujian Allah.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tragedi itu di luar kawalan manusia dan orang ramai seharusnya mendoakan semua 19 mangsa yang cedera dalam kejadian itu.

"Tragedi ini sesuatu yang di luar kawalan manusia kerana tiada siapa pun boleh tahan daripada berlakunya ribut dan ia berlaku dalam masa sangat singkat.

"Tak perlulah ia dispekulasikan...kita pandang dari konteks terbaik untuk mangsa dengan mendoakan mereka. PAS amat bersimpati terhadap semua mangsa," katanya kepada pemberita di lobi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan di laman sosial dan kenyataan penyokong Pakatan Harapan yang menyifatkan kejadian ribut berlaku ketika berlangsungnya Muktamar PAS itu sebagai bala.

Terdahulu Tuan Ibrahim bersama Menteri Besar Kelantan, yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob dan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, mengambil masa kira-kira 15 minit melawat mangsa yang cedera di HSB.

Tuan Ibrahim berkata, sehingga kini, hanya seorang daripada 13 mangsa yang dibawa ke HSB iaitu Zainaton Man, 45, dari Jitra, dekat sini, masih menerima rawatan di HSB, manakala yang lain sudah dibenarkan pulang.

Enam lagi mangsa dirawat di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihak urus setia PAS menjangkakan kerja pembersihan di tapak yang terbabit dalam kejadian ribut itu selesai petang ini.

Semua peniaga dijadual boleh memulakan semula perniagaan selewat-lewatnya esok pagi.

Berita Harian X