Ahad, 30 April 2017 | 12:50pm

PH jangan terhegeh depan pintu gol PAS


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melaungkan takbir bersama para Perwakilan pada Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas kali ke-63 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, semalam. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP digambarkan sebagai tembok penghalang PAS untuk bersaing dengan UMNO.

Perwakilan PAS Kelantan, Datuk Abdullah Yaakob, berkata pelbagai pihak, khususnya PKR, PAN dan DAP mempertikaikan pendirian parti itu yang kononnya ketika ini berhenti memusuhi UMNO.

"Situasi sekarang ini macam dalam perlawanan bola sepak, kita (PAS) nak tendang ke pintu gol tapi kamu (DAP, PKR dan PAN) asyik terhegeh-hegeh depan gawang.

"Oleh itu, kami (PAS) terpaksa tendang kamu (PKR, PAN dan DAP) dulu untuk melawan UMNO di depan pintu gol," katanya pada sesi perbahasan ucapan dasar Presiden sempena Muktamar PAS Ke-63, di sini sebentar tadi.

Abdullah berkata, PAS memang bertelagah dengan DAP kerana dasar perjuangannya adalah anti Islam, selain sering mempertikaikan hala tuju parti itu ketika menganggotai pakatan pembangkang.

Bagaimanapun, katanya, PAS tidak pernah memusuhi kaum lain seperti Cina dan India seperti dimomokkan segelintir pihak, khususnya DAP.

"Kita bercakaran dengan DAP tidak bermakna PAS adalah anti Cina dan India kerana sehingga kini parti Islam ini tidak pernah menjalankan dasar pilih kasih.

"Ia terbukti di Kerajaan Kelantan yang melayan setiap rakyat di Negeri Serambi Mekah secara saksama sehingga kita beri dana khairat sebanyak RM1,500 untuk orang bukan Islam menguruskan proses pengebumian mereka.

"Sampai orang bukan Islam di Kelantan nak kahwin pun kita bagi sumbangan untuk mereka bina kehidupan baharu, justeru mana asas kepada dakwaan bahawa PAS anti Cina dan India," katanya.

Berita Harian X