Ahad, 30 April 2017 | 7:52am

Tempoh darurat di Mali dilanjut lagi

PASUKAN tentera dengan Misi Gabungan Pelbagai Dimensi Penstabilan di Mali (Minusma) bertugas di tapak khemah tentera dalam Fafa, 165km dari Gao, Mali. - Foto AFP

BAMAKO: Perhimpunan Kebangsaan Mali, kelmarin, mengundi untuk melanjutkan perintah darurat untuk tempoh enam bulan lagi, bagi membendung serangan militan Daesh yang berpangkalan di utara kawasan padang pasir di negara Afrika Barat itu.

Keputusan undian itu diumumkan, Presiden suruhanjaya undang-undang, Perhimpunan Kebangsaan, Zoumana N'dji Doumbia, semalam.

Katanya, ia bertujuan memberi lebih kuasa kepada pasukan keselamatan untuk menangkap dan menahan anggota militan Daesh.

Ia adalah tempoh lanjutan terbaharu, sejak perintah itu dikuatkuasakan pada November 2015.

Tahap keselamatan yang semakin meruncing menyebabkan Mali kembali dilanda kekacauan, seperti yang berlaku pada 2012 selepas Daesh menyerang pemberontak etnik Tuareg di utara negara itu, sebelum tentera Perancis menewaskan mereka setahun kemudian.

Serangan oleh pihak militan masih berterusan, walaupun ketika ini, kira-kira 11,000 anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan tentera Perancis sudah ditempatkan di Mali.

Dalam kejadian terbaharu pada Januari lalu, pengebom nekad meletupkan bom di sebuah pangkalan tentera dan mengorbankan sekurang-kurangnya 77 mangsa. - Reuters

Berita Harian X