Sabtu, 29 April 2017 | 4:41pm
PERWAKILAN berbaris untuk membuang undi bagi proses pemilihan tiga jawatan Naib Presiden dan lapan belas AJK PAS Pusat sesi 2017/19 dalam pemilihan parti pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. - Foto Amran Hamid

Undian pemilihan PAS bermula


PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (kiri) hadir di majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.- Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Sebanyak 1,200 perwakilan PAS hari ini memilih tiga naib presiden dan 18 Anggota Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat bagi sesi 2017/2019 pada Muktamar PAS ke-63 di Kompleks PAS Kedah, di sini.

Jawatan naib presiden menjadi rebutan empat calon membabitkan ketiga-tiga penyandang Datuk Mohd Amar Abdullah yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan; Idris Ahmad yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang; dan Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor.

Seorang lagi calon ialah Nasruddin Hassan yang juga Ketua Penerangan PAS dan Anggota Parlimen Temerloh.

Seramai 40 pemimpin lain dicalonkan untuk merebut 18 jawatan AJK PAS Pusat.

Gandingan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man, masing-masing menang tanpa bertanding.

Jawatan yang turut dimenangi tanpa bertanding ialah pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap dan pemeriksa kira-kira.

Proses mengundi bermula pada 3.30 petang dan dijadual berakhir 6 petang ini. Semua keputusan pengundian yang julung kalinya menggunakan kaedah e-voting itu hanya akan diumumkan pada 1 Mei ini bagi mengelakkan gangguan emosi calon-calon bertanding ketika muktamar sedang berlangsung. - BERNAMA

Berita Harian X