Khamis, 27 April 2017 | 12:51pm
Pertandingan mengayakan tudung pada majlis perlancaran Ariani Luxe di Wisma Jakel. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

Siti Nurhaliza capai impian jadi adiwira


Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel (dua dari kiri), Pengarah Pemasaran Ariani Textiles & Manufacturing, Datin Farah Haryani (dua dari kanan) menyampaikan cederahati kepada Ikon Ariani, Datuk Siti Nurhaliza (kanan) dan Duta Ariani, Bella Dally pada majlis perlancaran Ariani Luxe di Wisma Jakel. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

KUALA LUMPUR: Impian sejak kecil untuk menjadi adiwira akhirnya dapat direalisasikan Datuk Siti Nurhaliza menerusi pembikinan video muzik bagi single baharu berjudul Segala Perasaan.

Penyanyi tersohor itu berkata, video muzik itu, yang juga pertaruhan pertama daripada album studio ke-16 beliau, SimetriSiti, bakal dipertontonkan kepada media pada majlis pelancaran, 5 Mei depan.

"Segala Perasaan sangat istimewa kerana selepas lebih dua dekad dalam industri muzik, akhirnya saya dapat menzahirkan impian sejak kecil dalam video muzik.

"Dulu, saya selalu berangan ingin bergelar Superwoman atau adiwira yang mempunyai kuasa sakti dan mampu menyelamatkan orang lain. Namun, sudah tentu ia mustahil.

"Apabila dapat peluang menggarap sendiri idea bersama pengurus, Kak Zie (Rozi Abdul Razak), akhirnya terhasil video muzik ini yang turut menonjolkan babak pertarungan," katanya pada majlis pelancaran butik dan koleksi hijab premium, Ariani Luxe, di sini, semalam.

Mengulas cabaran sepanjang rakaman video muzik berkenaan, Siti mengakui mereka tidak mengambil masa panjang untuk melakukan adegan lasak kerana mendapat bimbingan koreografer berpengalaman.

"Saya perlu menonjolkan aksi sebagai adiwira yang tangkas dan mahir bertarung. Jadi, saya dibimbing ahli seni bela diri campura, Ann Osman, yang mengajar teknik berlawan dengan musuh.

"Walaupun agak mencabar dan lasak, saya sangat teruja, malah penggambaran dapat diselesaikan mengikut jadual. Menariknya, rakaman dibuat di atas bangunan setinggi 20 tingkat. Memang sangat mendebarkan," kongsinya.

Berita Harian X