Khamis, 27 April 2017 | 11:51am

PAS bentuk blok ketiga depani PRU-14


Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, (dua dari kanan) memotong padi sebagai gimik Perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS kali ke-57 sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. NSTP/AZHAR RAMLI

ALOR SETAR: PAS mengesahkan menjadi blok ketiga pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 dengan sasaran menawan dan memperluas kuasa di empat negeri serta 40 kerusi parlimen.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata seiring sasaran itu, PAS menumpukan pada pendekatan politik matang dan sejahtera, dengan mengambil contoh perjuangan di beberapa negara Islam.

Berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-58, di Kompleks PAS Kedah, di sini, sebentar tadi, beliau berkata, pendekatan itu dibuat selepas menimbang tiada keperluan untuk membentuk kesepakatan politik dengan parti lain, yang disifatkan berdepan banyak kemelut.

"Kita perlu melihat negara (ditentukan) kuasa ketiga. Selepas pihak kanan dan kiri berdepan kemelut masing-masing. PAS membentuk gagasan sejahtera sebagai pihak ketiga.

"Cabaran ini, Insya-Allah, kita akan hadapi dan mantapkan dengan pendekatan politik yang sudah diperkenan oleh Presiden (PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) iaitu politik matang, perkara benar sebagai benar serta mengambil contoh pengalaman apa yang berlaku di Algeria, Turki serta Mesir," katanya.


Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berucap ketika majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS kali ke-57 sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. NSTP/AZHAR RAMLI

Yang turut hadir pada majlis itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz.

Tuan Ibrahim berkata, empat negeri yang disasar untuk ditawan dan diperluas kuasanya adalah Kedah, Selangor, Terengganu dan Pahang, manakala Kelantan dipastikan terus kekal menjadi milik PAS.

Dalam pada itu, beliau berkata, PAS juga menggesa kerajaan segera menetapkan satu dasar bagi mengawal selia pembiayaan dan sumbangan politik kerana ia adalah punca yang merosakkan politik negara.

"Inilah punca kerosakan sistem politik kita. Bila mana ahli politik dapat dana daripada `tokey-tokey', maka kepada tokey inilah akhirnya mereka bekhidmat, lebih berkhidmat daripada rakyat," katanya.

Berita Harian X