Rabu, 26 April 2017 | 8:00am

Harmoni 1 serba lengkap demi keselesaan hidup


REPLIKA rumah mampu milik Harmoni 1 di Putra Heights. - Foto Rosela Ismail

SIME Darby Property, baru-baru ini melancarkan rumah mampu milik Harmoni 1 di Putra Heights, di bawah skim perumahan Rumah Selangorku.

Rumah mampu milik yang dibina dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM359 juta itu terdiri empat blok pangsapuri menempatkan 1,700 unit kediaman jenis C1 (800 kaki persegi) dan jenis D (1,000 kaki persegi).

Harga jualannya adalah antara RM170,000 dan RM270,000.

Kompleks pangsapuri itu akan dilengkapi kemudahan, termasuk blok meletak kereta lima setengah tingkat untuk penghuni, dewan serba guna untuk aktiviti komuniti, dua bilik pengawal bagi keselamatan dipertingkatkan dan ruang taman yang besar.

Pengarah Urusan Sime Darby Property, Datuk Jauhari Hamidi, berkata syarikat komited kepada usaha membina rumah mampu milik bagi membolehkan lebih ramai keluarga mendapat tempat berteduh yang selesa.

"Pelancaran Harmoni 1 di Putra Heights mencerminkan komitmen berterusan kami kepada negara untuk membangunkan rumah mampu milik yang mampu menampung permintaan pelanggan berpendapatan rendah dan sederhana," katanya pada majlis pelancaran projek itu di Putra Heights, dekat Subang Jaya, baru-baru ini.

Pelancaran disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pendaftaran dan pembelian Rumah Selangorku terbuka kepada semua rakyat Malaysia (termasuk bukan rakyat Selangor) berumur lebih 18, dengan pendapatan isi rumah RM3,000 hingga RM10,000.

Pemohon mestilah tidak memiliki mana-mana hartanah di Selangor dan tidak semestinya bekerja di negeri itu untuk layak.

Bakal pembeli juga perlu mendaftar di laman web Sime Darby Property dan melengkapkan pendaftaran melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangir (LPHS).


SIME Darby Property tawar rumah mampu milik antara RM170,000 hingga RM270,000. - Foto Rosela Ismail

Sebalik pendaftaran dilengkapkan, pemohon perlu menghantar salinan fizikal borang permohonan bersama dokumen diperlukan bagi tujuan pemprosesan.

Harmoni 1 di Putra Heights adalah pelancaran kedua di bawah Rumah Selangorku oleh Sime Darby Property, dengan yang pertama adalah di Bandar Bukit Raja, Klang yang dilancarkan pada 2015.

Sejajar dengan falsafah Sime Darby Property membina komuniti mapan, kebanyakan rumah mampu milik yang dibinanya terletak di lokasi strategik dengan akses selesa ke hab pengangkutan dan kemudahan lain bagi menyediakan standard hidup kepada komuniti.

Di bawah Rumah Selangorku, Sime Darby Property juga akan membina 4,000 unit rumah di City of Elmina, Bandar Bukit Raha, USJ Heights, Bukit Jelutong dan Bandar Serenia.

INFO

  • Putra Heights adalah pembangunan bersepadu yang dilancarkan pada 1998
  • Ia terletak di lokasi perdana dengan akses ke lebuh raya utama dan hab pengangkutan awam
Berita Harian X