Selasa, 25 April 2017 | 6:18am

Perkahwinan satukan jiwa, keluarga


- Gambar hiasan

Perkahwinan bukan sekadar menjaga diri daripada dosa dan maksiat, malah memperluaskan hubungan kekeluargaan. Selain itu, pasangan juga perlu mempunyai kefahaman tinggi dalam ilmu rumah tangga. Ini dijelaskan oleh Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin dalam slot Pesona D'Zahra' di IKIMfm mengenai cara mengekalkan keutuhan rumah tangga dan isu perceraian.

Hidup berpasangan adalah fitrah semula jadi alam dan setiap sesuatu itu ada pasangannya seperti siang dan malam. Begitulah juga manusia, perkahwinan menemukan pasangan untuk bersama mengharungi segala suka duka kehidupan.

Perkahwinan juga bertujuan memperluaskan hubungan kekeluargaan antara keluarga lelaki dan perempuan dan mengembangkan zuriat keturunan yang soleh. Islam memberi panduan kepada generasi muda yang ingin berkahwin.

Ada yang ingin berkahwin untuk menjaga diri daripada dosa dan maksiat, tetapi khuatir sama ada rezekinya mencukupi bagi menanggung keluarga. Sebenarnya, kita perlu yakin bahawa rezeki akan dimudahkan melalui perkahwinan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan kahwinilah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mengkayakan mereka daripada rezeki-Nya. dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya dan Maha Mengetahui." (Surah al-Nur, ayat 32)

Namun, jika seseorang belum mempunyai kemampuan dan persediaan menempuh kehidupan berkeluarga, maka hendaklah berusaha menahan hawa nafsu dengan sebaiknya.

Menerusi rancangan Pesona D'Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menyatakan, Allah SWT menyuruh umat Islam memandang erti sebenar perkahwinan dari pelbagai sudut.

Perkahwinan adalah penyatuan dua jiwa dalam ikatan pernikahan supaya kedua-duanya menikmati rahmat dan ketenangan dalam berkongsi kehidupan berumah tangga yang dipenuhi cinta dan kasih sayang.

Penting persamaan kufu

Meneliti proses perkahwinan, Islam menitikberatkan soal persamaan taraf (kufu) dan pasangan yang sesuai mencakupi keagamaan, keturunan, pendidikan, harta, kecantikan dan sebagainya. Persoalan sekufu penting kerana perbezaan taraf boleh menimbulkan masalah nanti.

Selepas berkahwin pengantin digalakkan menziarahi ahli keluarga kedua-dua belah pihak untuk saling mengenali saudara mara jauh dan dekat. Pasangan juga mesti adil dalam mengeratkan silaturahim dengan ahli keluarga kedua-dua pasangan.

Menurut Muhammad, setiap pasangan berkahwin perlu menerima hakikat akan wujud perubahan dari aspek emosi dan fizikal antara satu sama lain ketika melayari bahtera rumah tangga. Justeru, ia menuntut pasangan mempunyai kefahaman tinggi terhadap ilmu rumah tangga.

Kehidupan tidak selalu indah dan begitu jugalah perjalanan alam perkahwinan. Ada ketikanya diuji dengan pelbagai cabaran sehingga boleh menyebabkan hubungan menjadi hambar, lesu dan tegang. Namun begitu, pergaduhan antara suami isteri adalah situasi yang tidak dapat dielakkan.

Komunikasi yang baik dan berterusan antara suami isteri adalah elemen paling penting bagi mengekalkan keutuhan rumah tangga yang dibina dengan cinta serta kasih sayang.

Positif hadapi perceraian

Kegagalan rumah tangga atau bercerai tidak selalunya negatif. Sering kali kegagalan membawa kebaikan dan manfaat kepada pasangan. Cuma, sebagai hamba kita gagal mengetahui apa yang terbaik untuk diri.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah lebih mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Sikap terbaik ketika menghadapi perceraian ialah sentiasa berfikiran positif dan optimis bahawa kegagalan ini peluang untuk membaiki diri. Sabar adalah penting dalam hidup berumah tangga sama pada dengan diri mahupun pasangan.

Penulis adalah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

Berita Harian X