Khamis, 20 April 2017 | 9:32am

Program, dasar perkasa Bumiputera berwajah baharu


NAJIB bersama Ahmad Zahid, Abdul Rahman dan Husni bergambar dengan penyumbang pada majlis Transformasi Kesejahteraan Bumiputera di Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin

TRANSFORMASI KESEJAHTERAAN BUMIPUTERA

KUALA LUMPUR: Semua program dan dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) akan bersandarkan kepada prinsip agenda memperkasakan Bumiputera yang berwajah baharu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Husni Salleh, berkata ia lebih holistik yang merangkumi aspek kesejahteraan hidup seperti pendidikan, kesihatan, sosial, jurang pendapatan dan pemilikan harta.

Beliau berkata, setelah berjaya membina keupayaan dan meningkatkan pembabitan Bumiputera dalam ekonomi negara di bawah pelaksanaan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 1.0 (BERT 1.0) enam tahun lalu, kini program dan inisiatif itu diperluaskan.

Katanya, program induk yang dilaksanakan TERAJU akan diperluaskan kepada kementerian menerusi Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang ditubuhkan di semua kementerian.

Pemberian dana, geran

Contohnya, program Carve Out and Compete bersama rakan programnya akan diperluaskan ke dalam pemerolehan kerajaan, pemberian dana dan geran. Wakil TERAJU akan ditempatkan dalam Jawatankuasa Unit Pemerkasaaan Ekonomi Bumiputera yang ditubuhkan di setiap kementerian bagi menjadikannya ia lebih berkesan dan sah.

Husni berkata, program dan inisiatif TKB akan diumumkan dari masa ke semasa dengan memperhalusi hasil daripada makmal sindikasi Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 yang diadakan baru-baru ini.

Kesejahteraan, lebih inklusif

Setakat ini, tidak ada sebarang sasaran ditetapkan, sebaliknya Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan Perdana Menteri akan melancarkan program yang menitikberatkan kesejahteraan dan lebih inklusif dengan mengambil kira soal pendapatan, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

Husni berkata, di bawah TKB, pengukuran pembangunan Bumiputera akan dilihat dalam aspek yang lebih meluas seperti pendapatan, pemilikan aset dan jumlah profesional dalam bidang tertentu.

Beliau berkata, pengukuran dalam TKB juga membabitkan simpanan dan instrumen kewangan, pelaburan dan pemilikan ekuiti.

"Dulu, bila menyentuh mengenai agenda Bumiputera, kita bercakap mengenai 30 peratus pemilikan ekuiti, namun kini sasaran itu dikembangkan," katanya.

RM108 bilion berjaya dijana sehingga bulan lalu

Kuala Lumpur: Sejumlah RM108 bilion berjaya dijana sehingga Mac tahun ini menerusi semua inisiatif di bawah Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera dan sidang Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera dilancar pada 2011 dan sidang Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada 2013.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata daripada jumlah itu, RM80 bilion adalah daripada peluang perniagaan Bumiputera, khususnya RM54 bilion melalui dasar Carve Out and Compete.

Contoh terbaik Carve Out and Compete adalah kejayaan fasa pertama projek InfraRakyat mega, yakni MRT Jajaran Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer.

Bagi projek MRT Fasa 1 saja, daripada nilai pakej pembangunan projek RM21.2 bilion, sebanyak 51 peratus diberikan kepada kontraktor Bumiputera.

Merit dan kebolehan

Najib berkata, apa yang penting, dalam penganugerahan kontrak atau tender, jika memilih Bumiputera yang betul dalam erti kata bukan sekadar atas dasar kawan mahupun kroni, tetapi kalau kenalan sekalipun, mestilah Bumiputera yang berdasarkan merit dan kebolehan.

Langkah itu, jelasnya, akan memastikan kontraktor berjaya menyiapkan projek mengikut jadual dan menepati bajet kos pembinaan yang ditetapkan.

"Kerajaan juga komited untuk menyediakan 50 peratus tempat perniagaan baharu lain yang strategik seperti di stesen MRT, sebagai memberi ruang dan membuka peluang kepada usahawan Bumiputera," katanya.

Najib berkata, ada banyak lagi inisiatif yang diperkenal di bawah Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera dan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, antaranya program syarikat Bumiputera berprestasi tinggi (TERAS), Dana Mudah Cara dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

Program TERAS

Beliau berkata, menerusi program TERAS, sebanyak 1,014 syarikat diberikan sokongan dalam bentuk pembinaan kapasiti dan pembiayaan.

"Sehingga Mac 2017, sebanyak 306 syarikat TERAS telah menerima kelulusan pembiayaan bagi pembelian aset dan modal kerja bernilai RM1.3 bilion," katanya.

Menerusi Dana Mudahcara, iaitu insentif menggalakkan pelaburan swasta Bumiputera, sebanyak 469 projek mendapat pembiayaan.

Hasilnya, syarikat Bumiputera itu sudah membuat pelaburan domestik bernilai RM13.18 bilion iaitu 8.4 kali ganda dari nilai geran yang diberikan oleh kerajaan, sekali gus mewujudkan lebih 43 ribu peluang pekerjaan.

Info
TERAJU

  • Ditubuhkan pada 2011
  • Unit strategik di Jabatan Perdana Menteri
  • Menerajui , memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara
Berita Harian X