Rabu, 19 April 2017 | 6:36pm

SP Setia lancar skim pinjaman SEAL


(DARI kiri) Pengurus Besar SP Setia Berhad Dianne Chan, Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi SP Setia Berhad Datuk Wong Tuck Wai, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk Khor Chap Jen, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan SP Setia Berhad Choy Kah Yew pada Pelancaran Setia Express Advance Loan (SEAL) di Setia City Convention Centre, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

SHAH ALAM: SP Setia Bhd melancarkan skim Setia Express Advance Loan (SEAL) untuk membantu pembeli mendapatkan pembiayaan bank bagi rumah di bawah projek kendaliannya.

Skim berkenaan menawarkan pembiayaan dengan kadar faedah serendah 5.5 peratus bagi menampung lebihan harga rumah yang perlu dibayar oleh pembeli yang hanya mendapat 60 atau 70 peratus pembiayaan daripada bank.

Presiden dan Ketua Eksekutif SP Setia, Datuk CJ Khor, berkata skim SEAL dibuat bagi menghubungkan perbezaan yang ada antara pembiayaan bank yang diluluskan dengan harga belian rumah.

Beliau berkata, SEAL menawarkan tempoh pembiayaan semula selama 36 bulan dan pembeli hanya perlu membayar kadar faedah saja dalam tempoh itu.

"Bayaran prinsipal boleh dibuat selepas tempoh 36 bulan bagi memberikan lebih keselesaan kepada pembeli. Tiada sebarang caj penalti akan dikenakan kepada pembeli jika mereka mahu menyelesaikan pinjaman itu lebih awal," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran skim itu di Setia Alam di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khor berkata skim berkenaan dijangka mengubah suasana pasaran hartanah yang agak mencabar pada masa ini.

Beliau berkata, kegagalan mendapat pinjaman penuh boleh menyebabkan pembeli tidak mampu untuk memiliki rumah dan ia akan memberi kesan kepada pasaran.

"Justeru, SEAL berperanan untuk membantu pembeli dan pada masa sama memberikan keselesaan dan jaminan kepada mereka," katanya.

Tambahnya, pihaknya tidak membuat keuntungan besar dengan memperkenalkan SEAL.

"Dengan kadar faedah yang amat rendah, ia hanya cukup untuk menanggung segala kos yang akan kami keluarkan untuk skim ini.

"Keutamaan kami adalah untuk membantu pembeli mendapatkan rumah idaman mereka, bukannya untuk mengaut keuntungan menerusi perkhidmatan pinjaman wang," katanya.

Info:

- Selain SEAL, antara kempen inovatif lain yang pernah dijalankan SP Setia untuk manfaat pembeli termasuklah kempen 5:95 pada tahun 2009; Triple A Campaign dan Jet Set with Setia pada tahun 2015; dan kempen 10:90 pada tahun lalu

Berita Harian X