Rabu, 19 April 2017 | 3:14pm

MODENAS teroka segmen 'street bike' dengan Bajaj

KUALA LUMPUR: Motosikal Dan Enjin Nasional (MODENAS), unit DRB-HICOM Bhd, bersedia memasuki segmen 'street bike' di Malaysia menerusi usaha sama dengan Bajaj Auto Ltd (BAL) India.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar, yakin langkah itu akan memperkukuh jenama dan membantunya menguasai bahagian pasaran yang lebih besar dalam segmen motosikal.

"Kerjasama itu selari dengan aspirasi kami untuk memperkukuh jenama MODENAS secara keseluruhan, dengan menawarkan jenis yang lebih banyak kepada peminat motosikal.

"Pasaran tempatan menyambut baik usaha sama MODENAS dengan Kymco dalam segmen skuter pada November lalu, dan syarikat itu kini bersedia melangkah ke pasaran yang lebih agresif iaitu segmen 'street bike'," katanya dalam satu kenyataan.

Syed Faisal berkata, menerusi usaha sama dengan BAL, MODENAS kini mempunyai segmen baharu untuk diteroka dengan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran teknologi BAL.

Usaha sama itu akan dilaksanakan secara berperingkat termasuk pengedaran dan pemindahan teknologi menerusi pembangunan hab pemasangan khusus di kilang MODENAS di Gurun, Kedah.

Pada peringkat awal, MODENAS dan BAL merancang menembusi pasaran antarabangsa menggunakan jenama MODENAS di ASEAN.

Motosikal BAL kini adalah peneraju pasaran dalam segmen masing-masing di 74 negara termasuk Amerika Latin, Asia Barat, Asia Selatan, ASEAN dan Eropah. BAL juga pengeluar keempat terbesar bagi motosikal tiga dan dua tayar di dunia.

"Model Bajaj akan diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi, sudah membuktikan kejayaannya di peringkat dunia, dan kami yakin keadaan yang sama akan dialami di Malaysia," katanya.

Jenama itu sudah terkenal di beberapa negara. Dalam pasaran India sendiri, barisan motosikal Bajaj diterima baik dan terus menguasai bahagian pasaran yang besar di sana. - BERNAMA

Berita Harian X