Isnin, 17 April 2017 | 6:50pm

Bella lupakan solekan ketika pantang


NUR Nabila Zulyadaini bersama suami, Anuar Ahmad dan anak sulung, Iris Alisya serta anak kedua, Mohd Aidil Mikhali di rumah mereka di Kampung Sungai Baru Gunung. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Personaliti laman sosial, Nur Nabila Zulyadaini, atau Bella selamat melahirkan anak keduanya yang diberi nama Mohd Aidil Mikhail, petang semalam.

Bayi seberat 3.7 kilogram (kg) itu dilahirkan secara normal jam 6.50 petang di Pusat Perubatan Putra (PMC) di sini.

Bella, 25, bersama bayinya yang kini berada di rumah ibu mentuanya di Kampung Sungai Baru Gunung, di sini, dilapor sihat.

Menariknya, Bella yang viral di Facebook berikutan kepetahannya berinteraksi dalam sesi tutorial solekan menerusi laman sosial, sempat membuat tutorial solekan pada malam sebelum bersalin.

"Saya buat tutorial jam 11 malam Sabtu lalu bersama dua rakan. Suami macam tahu pula saya nak bersalin esoknya, apabila dia meletakkan keterangan gambar 'anda boleh tengok kot-kot esok dah nak bersalin'.

"Keesokan harinya kira-kira jam 7 pagi saya mempunyai tanda untuk bersalin lalu dibawa ke hospital jam 2 petang dan selamat bersalin 6.50 petang," katanya.

Ditanya mengenai pantang, Bella berkata sepanjang tempoh 44 hari ini, dia memilih berpantang di studio miliknya yang terletak bersebelahan rumah.

"Terpaksa lupakan sekejap solekan tetapi ada pengikut yang komen cakap jangan cuti lama-lama dan minta saya buat semula tutorial dalam masa terdekat ini.

"Berpantang di studio ini menarik bagi saya, sesuai dengan minat mendalam terhadap dunia solekan. Lagi pun di studio ini ada kemudahan tandas," katanya.

Berita Harian X