Jumaat, 14 April 2017 | 3:55pm

S P Setia mahu ambil alih I&P pada RM3.75b

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, S P Setia Bhd (S P Setia), memeterai Memorandum Hasrat (MoI) untuk rundingan cadangan pengambilalihan I&P Group Sdn Bhd (I&P Group) dengan anggaran nilai RM3.5 bilion hingga RM3.75 bilion.

Pengambilalihan itu dijangka membantu S P Setia meningkatkan jumlah simpanan tanahnya kepada lebih empat ribu hektar menjelang akhir tahun ini.

Ia berikutan I&P Group kini mempunyai lebih 1,700 hektar tanah, kebanyakannya di Lembah Klang dan Iskandar, Johor.

Jika dimuktamadkan, S P Setia akan muncul sebagai pemaju hartanah dengan jumlah simpanan tanah terbesar di negara ini.

Selain itu, jumlah pendapatan S P Setia juga akan meningkat kepada lebih RM5 bilion apabila perjanjian itu dimuktamadkan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Presiden dan Ketua Eksekutif S P Setia, Datuk Khor Chap Jen, berkata pihaknya percaya pengambilalihan itu akan membolehkan kumpulan hartanah itu meneroka peluang sinergi yang ditawarkan I&P Group.

"Ini kerana selain lokasi tanah yang strategik, I&P Group juga memiliki akaun yang kukuh, paras hutang amat rendah dan platform cemerlang untuk membantu pertumbuhan dan pelaksanaan pada masa depan," katanya pada majlis pemeteraian MoI itu di sini, hari ini.

Yang hadir sama pada majlis itu adalah Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Pengambilalihan itu akan dibiaya oleh gabungan ekuiti, dana janaan dalaman dan pinjaman.

Sementara itu, Rahman berkata, cadangan transaksi berkenaan adalah selaras dengan Pelan Strategik yang baru diumumkan pihaknya bagi mengubah prestasi syarikat strategik dan terasnya.

"Sebagai pemegang saham utama dalam kedua-dua syarikat berkenaan, kami mengalu-alukan gabungan S P Setia dan I&P Group yang mempunyai rekod kukuh dalam bidang hartanah.

"Ia juga akan meningkatkan pelaburan dalam sektor hartanah oleh PNB. Gabungan kedua-dua pemaju hartanah itu akan menghasilkan sebuah syarikat pemaju hartanah yang terbesar di negara ini dan muncul sebagai satu daripada peneraju industri hartanah," katanya.

Sementara itu, pada majlis sama turut diadakan pemeteraian perjanjian jual beli tanah seluas 138 hektar di Bangi, Selangor daripada Seriemas Development Sdn Bhd oleh anak syarikat penuh S P Setia, KL East Sdn Bhd.

Tanah yang dikenali sebagai Bangi Land itu dibeli pada harga RM447.58 juta atau RM30 sekaki persegi.

Mengulas mengenainya, Chap Jen berkata, projek pembangunan bercampur akan dibangunkan di atas tanah itu dan ia dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM2.74 bilion.

Katanya, Bangi Land juga terletak dalam radius lima kilometer daripada projek perbandaran bercampur syarikat yang sedia ada iaitu Setia Ecohill dan Setia Ecohill 2.

"Dengan prestasi baik yang dicapai sebelum ini, kami yakin Bangi Land juga akan menjadi satu lagi kejayaan kepada pihak kami," katanya.

INFO:
S P Setia Bhd

  • 30 projek setakat 30 Disember 2016
  • Nilai pembangunan kasar, RM76.48 bilion
Berita Harian X