Jumaat, 14 April 2017 | 12:54pm

Pemandu treler ditahan cuba seludup rokok ke Singapura


Rokok pelbagai jenis dengan nilai cukai RM2.4 juta ditemui di dalam sebuah treler ketika melalui Pusat Pemeriksaan Tuas di Singapura. - Foto ihsan ICA Singapura

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu treler warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Singapura kerana cuba menyeludup 10,000 karton rokok dengan nilai cukai dianggarkan S$776,000 (RM2.4 juta) ke negara itu, kelmarin.

Suspek berusia 33 tahun yang memandu sebuah treler dengan nombor pendaftaran negara ini ditahan di Pusat Pemeriksaan Tuas, kira-kira jam 4.30 pagi.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura yang melakukan imbasan ke atas treler terbabit menemui objek mencurigakan dalam muatan yang diisytiharkan sebagai gentian seramik.

ICA Singapura menerusi satu kenyataan media, semalam memberitahu, pemeriksaan lanjut ke atas kotak di dalam treler terbabit menemui karton rokok berkenaan dalam kotak-kotak yang disorokkan di antara kotak muatan sebenar.

"Pemandu bersama treler dan muatannya kemudian diserahkan kepada pihak Kastam Singapura untuk tujuan siasatan.

"Kenderaan yang didapati digunakan untuk melakukan penyeludupan itu turut dirampas," katanya.

Katanya, jumlah duti rokok terbabit dianggarkan sebanyak S$776,000 (RM2.4 juta) manakala jumlah Cukai Barangan dan Perkhidmatan pula dianggarkan sebanyak S$57,510 (RM181,674).

Berita Harian X