Selasa, 11 April 2017 | 3:00pm

Bayi jantung berlubang perlu sumbangan

KUALA LUMPUR: Seorang bayi yang menghidap masalah jantung berlubang dan injap memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan di Hospital Gleneagles, di sini.

Muhammad Firman Ramadhan Muhammad Farid, berusia sembilan bulan dikesan mempunyai masalah jantung berlubang dan injap sempit ketika usia tujuh bulan dan kini memerlukan RM58,000 sebagai kos pembedahan.

Ibunya, Nurul Nadiah Mohamad Tuah, 26, berkata dia dan suami tidak menjangka anaknya sakit kerana dia dilahirkan normal.

"Semasa umur tujuh bulan, dia kerap demam, nangis dan kebiruan terutama ketika sejuk. Kadang-kadang, dia akan cepat penat selepas bermain dengan abangnya.

"Kami curiga sebab di kerap sakit, jadi bawa jumpa doktor dan selepas buat pemeriksaan di Hospital Ampang dia dikesan ada lubang yang sudah besar di jantungnya dan beberapa masalah jantung lain," katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.

Katanya, jantung sebelah kanan anaknya itu sudah bengkak berikutan saluran injap sempit.

Ayahnya, Muhammad Fareed Zine, 25, berkata kami redha menerima ujian berkenaan dan berharap orang ramai dapat membantu hulur sumbangan.

"Kami sangat berharap, pembedahan ini berjaya dan dapat melihat anak kami membesar serta dapat bermain seperti kanak-kanak normal lain," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Media Prima NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek. Cek boleh dihantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 0327148977.

Berita Harian X