Sabtu, 8 April 2017 | 2:13pm

Kaji wujudkan Akta Warga Emas


MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berucap pada majlis perasmian Seminar Perlindungan Sosial dan Pembangunan Mapan - Memperkasakan Warga Emas anjuran Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM) di sini, hari ini. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan Akta Warga Emas sebagai kaedah untuk melindungi hak golongan itu.

 

Ini kerana, cabaran pada era globalisasi ketika ini yang mempengaruhi gaya hidup masyarakat mewajarkan akta itu diwujudkan. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, tidak menafikan ada desakan dan permintaan daripada golongan tertentu berdasarkan kes pengabaian warga tua supaya akta warga emas diwujudkan kelak.

 

Namun beliau berkata, cadangan itu sedang dikaji berikutan dasar yang ada ketika ini iaitu Dasar Warga Tua Kebangsaan sudah mencukupi untuk melindungi hak dan kelangsungan hidup warga emas.

 

"Untuk mewujudkan Akta Warga Emas, kita memerlukan lebih banyak maklum balas merangkumi teori dan praktikal bagi memastikan akta ini relevan.

 

"Tetapi ketika ini, setiap dasar berkaitan warga emas yang diwujudkan oleh kerajaan sudah memadai sebagai persediaan buat mereka. Kerajaan juga sentiasa meneliti semula dasar berkenaan agar kekal mesra warga tua menjelang tahun 2050," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Perlindungan Sosial dan Pembangunan Mapan - Memperkasakan Warga Emas anjuran Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM) di sini, hari ini.

 

Ketika berucap di seminar itu, Rohani berkata, kementerian komited mengkaji dan membincangkan cabaran serta peranan yang perlu dimainkan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dalam memartabatkan kesejahteraan warga emas.

 

Katanya, usaha itu selaras dengan usaha negara menyusun atur polisi berkaitan perlindungan sosial, sasaran pembangunan mapan (SGD), serta persiapan negara menjadi negara tua (aging nation) menjelang 2030.

 

"Berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM), negara dijangka mencapai status negara tua pada tahun 2030 di mana populasi penduduk negara akan mencapai 38.1 juta orang dan 15.3 peratus atau 5.8 juta orang adalah warga tua.

 

"Pada tahun 2000 pula, bancian JPM mendapati terdapat seramai 1.4 juta warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas atau 6.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk (23.5 juta orang)," katanya

 

Berhubung cadangan kenaikan umur persaraan dari 60 kepada 65 tahun, Rohani berkata pihaknya ada menerima maklum balas itu dan akan mengkajinya terlebih dahulu kerana infrastruktur serta dasar ketika ini banyak tertumpu golongan berumur 60 tahun.

Berita Harian X