Sabtu, 8 April 2017 | 2:00am

Pertarungan panas menuju puncak, mengelak terjerumus

KOLUM APA KATA EPL: Ketemu lagi dalam ruangan ini. Ini adalah minggu ke-32 saingan Liga Perdana Inggeris, sekali gus menandakan musim 2016-2017 semakin hampir ke penghujungnya.

Selepas aksi terakhir pertengahan minggu, nampaknya Chelsea terus kukuh di persada carta liga. Kejayaan menjinakkan Manchester City 2-1 di laman sendiri membolehkan mereka menghimpunkan 72 mata dan gah di puncak.

PEMAIN Manchester City, Fabian Delph bersaing dengan pemain Chelsea, Diego Costa dalam aksi di Stamford Bridge. - Foto Reuters

Mengekori rapat adalah Tottenham Hotspur yang menang 3-1 ke atas Swansea City untuk hanya ketinggalan tujuh mata, diikuti Liverpool yang mengumpul 60 mata selepas diikat Bournemouth 2-2 di Anfield.

City pula berada di tangga keempat dengan 58 mata manakala Arsenal dan Manchester United masing-masing di tempat kelima dan keenam selepas mengumpulkan 54 mata.

Di tangga tercorot pula kekal dihuni Sunderland dengan 20 mata. Kelab berkenaan tewas 2-0 kepada penyandang juara, Leicester City pada aksi terbaru di laman sendiri manakala Middlesbrough di tangga kedua tercorot dengan 23 mata.

Swansea, Hull City dan Crystal Palace masing-masing di tempat ketiga, keempat dan kelima terbawah dengan 28, 30 dan 31 mata.

Berdasarkan kedudukan terkini, nampaknya Sunderland dan Middlesbrough hampir pasti terhumban ke liga kejuaraan musim depan.

REAKSI pemain Middlesbrough, Marten de Roon selepas Hull City mendapat gol ketiga dalam pertemuan di Stadium The Kingston Communications, England. - Foto Reuters

Dengan himpunan 72 mata, Chelsea yang dibimbing Antonio Conte kini hanya memerlukan 18 mata lagi atau enam kali menang untuk dinobatkan sebagai juara EPL musim ini. Kelab dari London ini hanya berbaki lapan aksi.

The Blues bakal berkunjung ke laman Bournemouth tengah malam ini dan kemenangan harus menjadi titik permulaan buat mereka dalam misi menghimpunkan 90 mata untuk bergelar juara.

Kemenangan berganda ke atas City - di laman sendiri dan lawan - pastinya menyuntik motivasi buat Eden Hazard dan rakan sepasukan untuk mencapai sasaran berkenaan.

Spurs yang kini menjadi pesaing terdekat Chelsea, jelas terus berada di landasan untuk mencabar kejuaraan. Anak buah Mauricio Pochettino kini selesa mendahului Liverpool dengan lima mata, selain kelebihan satu aksi dalam tangan.

Mereka akan berkunjung Vicarage Road 7.30 malam ini (waktu Malaysia) menentang Watford dan andainya menang, Spurs bakal hanya ketinggalan empat mata di belakang The Blues. Chelsea hanya akan beraksi jam 12.30 tengah malam ini.

Dalam pada itu, Liverpool pula akan bertamu ke Stadium bet365 untuk bertemu Stoke City. Seperti juga Chelsea dan Spurs, mereka perlu menang. Kegagalan mengutip mata penuh seperti berlaku ke atas Bournemouth, harus jadi pengajaran buat The Reds andai enggan dipintas City selepas ini.

City pula yang harus mempersalahkan diri sendiri selepas seri ketika bertemu Arsenal dan tumbang di tangan Chelsea, kini tiada pilihan. Mereka perlu memenangi pertemuan menentang Hull, manakala Arsenal perlu terus bangkit apabila menentang Crystal Palace bagi menghidupkan saki baki peluang yang ada.

Begitu juga United yang bertemu Sunderland. Barisan Jose Mourinho tidak boleh lagi mengulangi kesilapan apabila tercicir empat mata selepas diikat West Brom dan Everton dalam tempoh seminggu. Selamat menonton.

PENGENDALI Manchester United, Jose Mourinho. - Foto Reuters

Ramalan Minggu ke-32

Tottenham 3 Watford 1

West Ham 2 Swansea City 2

Stoke City 1 Liverpool 2

West Brom 1 Southampton 1

Middlesbrough 2 Burnley 2

Man City 4 Hull City 1

Bournemouth 0 Chelsea 4

Sunderland 0 Man United 3

Everton 1 Leicester City 1

Crystal Palace 1 Arsenal 3

Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Pengarang Sukan BH

Berita Harian X