Jumaat, 7 April 2017 | 8:11pm

9.2j dijangka lawat Putrajaya tahun ini


PRESIDEN Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail menerbangkan drone ketika majlis pelancaran Pertandingan Fotografi Pelancongan Putrajaya 2017 di Dataran Putrajaya, turut kelihatan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Rahimi Rejab dan para penaja. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) menyasarkan 9.2 juta pelancong akan berkunjung ke Pusat Pentadbiran kerajaan itu pada tahun ini.

Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail, berkata rekod yang dicatatkan pada tahun lalu menunjukkan majoriti pelancong ke Putrajaya adalah dari China, Jepun, Korea dan Singapura.

Katanya, PPj sangat optimis sasaran itu dapat dicapai selepas melihat trend kemasukan pelancong ke wilayah itu yang saban tahun menunjukkan peningkatan.

"Pelbagai cara PPj lakukan untuk menarik minat pelancong ke sini, antaranya dengan promosi di setiap hotel, landskap yang menarik serta promosi yang dilakukan dari masa ke semasa.

"Selain itu, lebih 30 acara dianjurkan di sini yang mendapat penyertaan dari peserta antarabangsa. Contohnya,

Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU), Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) serta Kejohanan Ironman Putrajaya.

"Acara berkenaan sentiasa dinanti-nantikan oleh pengunjung dan ia mempunyai tarikan tersendiri," katanya selepas melancarkan Pertandingan Fotografi Pelancongan Putrajaya, di PPj, di sini hari ini.

Hasim berkata, kedatangan pelancong secara tidak langsung menambah sumber pendapatan kepada peniaga terutama

dalam sektor makanan, penjualan kraftangan serta penginapan.

"PPj turut bercadang menambah kawasan untuk peniaga berniaga, kita akan pohon mana-mana tempat yang difikirkan

bersesuaian.

"Buat masa ini, perniagaan seperti food truck menjadi tarikan yang diletakkan di beberapa tempat seperti di Monumen Alaf Baru serta di kawasan yang ada acara besar," katanya.

Berita Harian X