Jumaat, 7 April 2017 | 5:54pm

MTDC sedia dana swasta RM500 juta

SEREMBAN: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menyediakan dana swasta dengan sasaran RM500 juta pada akhir tahun ini, bertujuan membantu syarikat penerima mempertingkatkan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus, berkata cadangan itu juga sudah mendapat persetujuan lembaga pengarah MTDC.

Katanya, dana swasta yang dikumpul daripada pasaran itu akan digunakan untuk membiayai usaha perluasan syarikat yang tidak layak menerima dana awam yang disediakan MTDC.

"Bila syarikat makin maju, mereka sepatutnya boleh mendapatkan dana daripada pasaran, namun dalam konteks (MTDC) kita ingin adakan dana untuk pembiayaan.

"Ini supaya MTDC boleh menjadi syarikat dana yang berdiri sendiri. Sekarang ini, tanggungjawab yang diberikan kerajaan untuk kita (ialah) menguruskan dana kerajaan," katanya selepas merasmikan program 'MTDC Reunites' di sini, hari ini.

Norhalim berkata, tanpa dana swasta, syarikat yang memerlukan dana lebih besar, contohnya RM150 juta untuk mengembangkan perniagaan dan memperoleh pulangan lebih tinggi, tidak dapat dibantu seterusnya tidak memberi manfaat kepada awam.

Selain itu katanya, MTDC mempunyai lebih 20 syarikat yang sudah beroperasi atau mengeksport produk ke Indonesia.

Katanya, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina menjadi antara sasaran pasaran penting MTDC, memandangkan kesemua negara itu dijangka mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar melebihi RM1 trilion.

Sementara itu, mengenai pembangunan produk berasaskan teknologi dan inovasi, Norhalim berkata ia memerlukan kerjasama erat antara penggiat industri dan universiti berteraskan penyelidikan bagi memastikan produk yang dihasilkan mampu dikomersialkan.

Bagi program hari ini, beliau berkata, ia membolehkan peserta membincangkan perkara berkaitan penyenaraian di Bursa Malaysia dan pengalaman mengeksport produk ke negara luar.

MTDC Reunites selama dua hari yang dihadiri 150 peserta itu adalah program tahunan yang menghimpunkan penerima dana MTDC untuk berkongsi pengalaman perniagaan, memperkukuhkan jaringan serta menyelesaikan masalah seperti pengkomersialan. - BERNAMA

Berita Harian X