Jumaat, 7 April 2017 | 12:11pm

306 korban banjir lumpur di Colombia


BANJIR lumpur yang berlaku di selatan Colombia, minggu lalu. - Foto AP

BOGOTA: Seramai 92 kanak-kanak adalah antara 306 mangsa yang maut dalam banjir lumpur yang melanda Mocoa, di selatan Colombia, minggu lalu.

Hujan lebat menyebabkan tiga sungai di kawasan itu melimpah menyebabkan air yang membawa lumpur, batu-batuan dan serpihan bangunan serta pokok membanjiri bandar itu.

Kadar kematian terbaharu itu dikeluarkan oleh pejabat Pengurusan Risiko Bencana.

Menteri Pertahanan Colombia, Luis Carlos Villegas, berkata jumlah kematian meningkat kepada 306 orang selepas lima lagi mayat, semuanya orang dewasa berjaya ditemui.

Sementara itu, Presiden Juan Manuel Santos, berkata lebih 300 orang dilaporkan masih hilang.

Menurut Pertubuhan Palang Merah, kira-kira 45,000 daripada 70,000 penduduk Mocoa terjejas dalam kejadian banjir lumpur itu. - AFP

Berita Harian X