Khamis, 6 April 2017 | 12:29pm

Majlis perundingan kawal harga rumah - CUEPACS


PRESIDEN Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), Datuk Azih Muda. - Foto Azhar Ramli

MUAR: CUEPACS mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan majlis perundingan berkaitan harga rumah bagi mengawal harga unit kediaman yang semakin meningkat.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata CUEPACS turut menerima aduan ahli dan penjawat awam berkaitan permohonan mereka untuk membeli rumah ditolak oleh institusi kewangan dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kerana gaji tidak mencukupi.

Katanya, kira-kira 40 peratus permohonan ini ditolak bukan sahaja berikutan gaji tidak mencukupi tetapi turut disebabkan syarat yang dikenakan pemaju perumahan untuk membeli rumah dan juga harganya yang terlalu mahal seolah-olah ia tidak dikawal.

"Saya fikir, kalau inilah trend yang berlaku, mana-mana penjawat awam atau rakyat sekali pun yang berpendapatan RM8,000 ke bawah tidak lagi mampu hendak membeli rumah teres, rumah Semi D dan jauh sekali untuk membeli banglo.

"Sehubungan itu, kami nak mencadangkan kepada kerajaan, sudah sampai masanya untuk menubuhkan satu majlis perundingan harga rumah. Ini kerana kerajaan mesti mengawal harga termasuk mengawal prosesnya (penjualan dan pembeliannya).

"Selagi kerajaan membiarkan pasaran yang menentukan harga, akan lebih ramailah rakyat termasuk golongan penjawat awam di seluruh negara tidak akan mampu untuk membeli walau hanya sebuah rumah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Tri-Tahunan Anulae Cawangan Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Koperasi Kospeta Malaysia Bhd di Dewan Jubli Intan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua MPM, Jamaludin A Hamid dan Setiausaha Agung CUEPACS, Adnan Mat.

Azih berkata, pihaknya berharap pihak kerajaan akan mengambil langkah segera untuk menubuhkan majlis ini bagi memastikan harga rumah di seluruh negara dapat dikawal dan mampu dimiliki oleh rakyat.

"Kami menerima pelbagai aduan ahli yang mendakwa permohonan ditolak oleh institusi kewangan dan LPPSA kerana gaji tidak mencukupi, sudah ada potongan dan rumah terlalu mahal. Tahun 2017 adalah tahun mencabar kepada golongan muda untuk membeli rumah.

"CUEPACS juga sedang berbincang bersama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) untuk mewujudkan pangkalan data mengenai jumlah penjawat awam yang tidak memiliki rumah," katanya.

Berita Harian X