Selasa, 4 April 2017 | 7:09am
SEORANG lelaki membantu ibunya membalut kaki yang cedera di tempat perlindungan di Mocoa, jabatan Putumayo, selatan Colombia. Foto AFP / Luis Robayo

Korban banjir lumpur Colombia meningkat kepada 262 orang


ANGGOTA tentera membantu orang awam selepas banjir lumpur .- Foto EPA

MOCOA, Colombia: Pasukan mencari dan menyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa terselamat di dalam banjir lumpur di selatan Columbia yang sudah mengorbankan 262 mangsa, termasuk 43 kanak-kanak.

Sebahagian besar mangsa memanjat atap bumbung atau berpaut pada pokok selepas lautan lumpur, batu dan serpihan merempuh perkampungan di Mocoa, lewat Jumaat lalu.

Ada antaranya menyaksikan anak dan saudara mara hanyut dibawa arus tanpa boleh berbuat apa-apa.

Antaranya, Ercy Lopez, 39, yang terpaksa berpaut pada pokok selepas banjir lumpur memusnahkan kediamannya.

Beliau yang kini tinggal di pusat perlindungan berkata, orang ramai masih mencari anak perempuannya, Diana Vanesa, yang berusia 22 tahun.

"Ketika ini, harapan untuk menemuinya dalam keadaan bernyawa adalah tipis," katanya.

Serpihan ditemui di merata-rata tempat di bandar di kawasan pedalaman Amazon itu, manakala kereta ditemui tertimbus dalam lumpur, selain pokok, permainan kanak-kanak dan kasut.

Mangsa terselamat berkumpul di hospital dan kawasan perkuburan untuk mencari ahli keluarga dan rakan.

Sementara itu, Unit Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan, mengumumkan angka korban meningkat kepada 262 orang.

Presiden Colombia, Juan Manuel Santos, berkata, sekurang-kurangnya 43 kanak-kanak adalah antara mereka yang terkorban.

Pasukan Palang Merah pula merekodkan 262 mangsa cedera, manakala 220 lagi dilaporkan hilang.- AFP

Berita Harian X