Ahad, 2 April 2017 | 6:59pm

Makmal tentukan hala tuju BETR 2.0


PENGARAH Kanan Pembangunan Perniagaan/Usahawan TERAJU, Megat M Yatim Megat Hamid. - Foto Sairien Nafis

PETALING JAYA: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menganjurkan 'Makmal Sinikasi' untuk mengumpul input bagi merangka pelaksanaan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 (BETR 2.0) dalam usaha memperkasakan agenda Bumiputera.

Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan/Usahawan TERAJU, Megat M Yatim Megat Hamid, berkata makmal perbincangan itu diadakan bermula hari ini hingga 11 April 2017, membabitkan pelbagai pihak, yang seterusnya mampu membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Sepanjang tempoh berkenaan, katanya, enam makmal perbincangan akan diadakan bagi mengupas pelbagai isu dan mencari kaedah untuk memantapkan agenda Bumiputera serta agenda nasional secara bersama.

"Ia akan disertai kira-kira 24 kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya dalam temu bual media di sini, minggu lalu.

Beliau berkata, hasil perbincangan berkenaan akan menentukan hala tuju pelaksanaan BETR 2.0 yang akan membantu melonjakkan ekonomi Bumiputera bagi tempoh lima hingga enam tahun akan datang.

"BETR 2.0 menggariskan lima teras utama yang merangkumi pendidikan dan modal insan; pekerjaan dan pendapatan; ekuiti korporat; keusahawanan serta aset bukan kewangan.

"Pelaksanaan lima teras berkenaan bagi memenuhi tiga objektif utama BETR 2.0 iaitu penciptaan kekayaan, penyertaan syarikat Bumiputera dalam sektor bernilai tambah dan mempercepatkan pertumbuhan syarikat Bumiputera," katanya.

Megat M Yatim berkata, BETR 2.0 adalah kesinambungan daripada BETR 1.0 yang dilancarkan pada 2011 dengan dua objektif utama melahirkan tenaga mahir Bumiputera bagi mendapat pekerjaan berpendapatan tinggi dan mengubah perniagaan kecil milik Bumiputera kepada syarikat berskala besar.

Mengulas lanjut, katanya, BETR 2.0 adalah satu pendekatan baharu yang dilaksanakan dan memfokuskan terhadap usaha meningkatkan pendapatan Bumiputera.

"BETR 2.0 adalah satu 'penjajaran semula' yang akan menentukan hala tuju baharu ekonomi Bumiputera. Ia turut merangkumi usaha meningkatkan pembangunan ekonomi negara, terutama dalam memacu pertumbuhan syarikat Bumiputera, selain merapatkan jurang pendapatan antara kaum di negara ini," katanya.

Info:

- BETR 2.0 dijangka dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 19 April ini.

- Makmal sinikasi turut berfungsi memperhalusi setiap petunjuk prestasi utama (KPI) dan program dilaksanakan TERAJU sebelum ini.

Berita Harian X