Sabtu, 1 April 2017 | 10:23pm

14 maut, 60 cedera dalam tanah runtuh di Colombia

BOGOTA: Sekurang-kurangnya 14 terbunuh manakala 60 lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh di sempadan wilayah Putumayo, barat daya Colombia.

Ketua Pasukan Bantuan Bencana Alam, Carlos Ivan Marquez, berkata hujan lebat semalaman menyebabkan air di beberapa sungai mula melimpah, membawa bersama lumpur dan sisa mendapan sehingga membanjiri kawasan kediaman serta jalan raya di Mocoa yang dihuni kira-kira 100,000 penduduk.

"Keadaan sangat kritikal. Antara 14 hingga 16 mangsa dilaporkan terbunuh, antaranya remaja bawah umur dan orang dewasa yang masih belum dikenal pasti," katanya.

Seorang saksi memberitahu stesen radio bahawa dia terpaksa meninggalkan rumahnya tengah malam tadi kerana paras air semakin meningkat.

Rakaman video pula memaparkan visual penduduk mencari mangsa yang terselamat di celah-celah sisa runtuhan bangunan.

Datuk Bandar Mocoa, Jose Antonio Castro berkata, lokasi kejadian adalah kawasan yang sangat luas dan tanah runtuh itu memusnahkan sebahagian besar rumah di situ.

"Walaupun orang ramai sempat menyelamatkan diri kerana amaran awal polis, namun semua rumah di 17 kawasan kejiranan musnah sama sekali.

"Jumlah kematian atau mangsa yang hilang semakin meningkat dan kami amat berharap jumlah itu tidak terlalu meningkat kerana ia amat menyedihkan," katanya.

Presiden Colombia, Juan Manuel Santos dijadualkan melawat lokasi tragedi dalam masa terdekat. - Reuters

Berita Harian X