Sabtu, 1 April 2017 | 10:20pm

M'sia-India meterai 6 MoU, satu perjanjian


DATUK Seri Najib Razak mengetuai delegasi Malaysia pada mesyuarat dua hala dengan India, yang diketuai oleh Perdana Menterinya, Narendra Modi bersempena kunjungan rasmi enam hari beliau ke India, hari ini. - Foto BERNAMA

NEW DELHI: Malaysia dan India memeterai enam memorandum persefahaman (MoU) dan satu perjanjian antara kerajaan (G2G) membabitkan pelbagai bidang sempena lawatan rasmi Datuk Seri Najib Razak ke India.

Majlis pertukaran dokumen itu disaksikan Perdana Menteri dan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi di Hyderabad House di sini, hari ini.

Enam MoU berkenaan ialah

*Kerjasama dalam bidang sukan

*Cadangan membina kilang urea dan ammonia di Malaysia

*Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan Institut Teknologi Kimia (ICT), Mumbai

*Pembangunan Sumber Manusia Bhd dengan Institut Pembangunan Keusahawan India (EDII)

*Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan Persatuan Universiti-Universiti India (AIU) mengenai pengiktirafan bersama kelayakan pendidikan

*Lembaga Kemajuan Ekonomi, Andhra Pradesh dengan MIGHT Technology Nurturing Malaysia

Sementara itu, kedua-dua negara turut menandatangani perjanjian perkhidmatan udara dua hala yang akan meningkatkan kesalinghubungan udara.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan empat mata diikuti mesyuarat delegasi kedua-dua negara.

Najib yang diiringi Datin Seri Rosmah Mansor kini dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke India.

Delegasi Perdana Menteri turut disertai sembilan menteri, termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Esok, Perdana Menteri akan berlepas ke Jaipur, ibu negeri Rajasthan untuk berbincang dengan ketua menterinya mengenai prospek penyertaan syarikat Malaysia dalam projek infrastruktur di negeri itu.

Berita Harian X