Sabtu, 1 April 2017 | 6:11pm
PENGUNJUNG memilih pakaian dan barangan yang tersedia sempena program Pasar Percuma anjuran Generasi Talib Mat dan Kilut Sepit (GTMKS) di Dataran Pusat Islam, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Bukit Palah. - Foto Rizanizam Abdul Hamid

Pasar percuma di Bukit Palah


AHLI Jawatan Kuasa Penganjur program Pasar Percuma anjuran Generasi Talib Mat dan Kilut Sepit (GTMKS) di Dataran Pusat Islam, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Bukit Palah. - Foto Rizanizam Abdul Hamid

MELAKA: Semua barangan diberikan secara percuma. Begitulah program unik 'Pasar Percuma' yang menawarkan pelbagai barangan secara percuma di Dataran Pusat Islam, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Bukit Palah, di sini, hari ini.

Program unik anjuran Generasi Talib Mat dan Kilut Sepit (GTMKS)

dengan kerjasama MAIM, Pertubuhan Pengurusan Rumah Ngaji Bukit Beruang, dan pasar raya TESCO itu memberikan pengunjung secara percuma pelbagai barangan baharu atau terpakai seperti pakaian, peralatan elektrik, mainan kanak-kanak dan produk makanan.

Wakil GTMKS, Norfazlinda Alimad, berkata program kali kedua dianjurkan itu bertujuan berkongsi rezeki dengan masyarakat khususnya golongan asnaf.

"Kita menggalakkan pengunjung mengambil barangan sekadar perlu yang dikumpulkan hasil sumbangan keluarga generasi GTMKS, badan bukan kerajaan (NGO), wakil swasta dan orang awam.

"Niat kami adalah pengunjung bersama-sama berkongsi rezeki dan mendapatkan pelbagai pilihan barangan secara percuma," katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, program kedua di MAIM Bukit Palah, itu adalah susulan daripada kejayaan program pertama yang diadakan pada 29 Januari lalu di rumah mereka di Kampung Bukit Baru.

"Semua barangan habis dalam tempoh kira-kira sejam sahaja, menyebabkan penganjur mula berkemas jam 11.30 pagi walaupun program sepatutnya tamat jam 5 petang.

"Sambutan kali ini cukup menggalakkan kerana lokasinya yang strategik," katanya.

Berita Harian X