Sabtu, 1 April 2017 | 1:24pm

UMNO dan USBO bagai aur dengan tebing: Pandikar


PEMANGKU Presiden Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (USBO) yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia (tengah) ketika hadir di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan USBO kali ke- 24 di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (USBO) terus kekal sebagai kerabat UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi memperjuangkan masa depan rumpun masyarakat yang dinaungi pertubuhan itu di Sabah.

Pemangku Presiden USBO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata badan bukan kerajaan (NGO) itu adalah umpama 'aur dengan tebing' kepada UMNO kerana kedua-duanya saling memerlukan.

Katanya, tanpa sokongan kuat masyarakat Bajau, Ubian, Iranun, Suluk dan Melayu, ia boleh menjejaskan kedudukan UMNO khususnya di Sabah berikutan komposisi masyarakat dinaungi NGO itu adalah yang terbesar dalam UMNO Sabah.

Beliau berkata, rumpun masyarakat yang dinaungi NGO itu perlu memahami kedudukan berkenaan dan terus menyokong kerajaan sedia ada yang ditunjangi UMNO demi masa depan mereka dan negeri.

"USBO adalah NGO tunggal yang diiktiraf sebagai kerabat dalam BN dan berdasarkan kedudukan itu, kita akan memastikan peranan USBO akan lebih menyerlah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang" katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Ke-24 USBO, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden USBO, Datuk Salsidu Ibrahim.

Ia adalah mesyuarat agung pertama dirasmikan Pandikar selepas dilantik memangku jawatan Presiden USBO pada Disember 2015 menggantikan Datuk Seri Salleh Said Keruak yang mengundur diri selepas dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Pandikar yang juga Speaker Dewan Rakyat berkata, satu siri jelajah USBO akan dilaksanakan pada akhir bulan ini bagi memberi penerangan menyeluruh kepada rakyat Sabah, khususnya masyarakat yang dinaunginya berhubung hubungan NGO itu dengan UMNO dan BN.

Katanya, jelajah itu juga bagi memastikan masyarakat rumpun USBO terus meyakini kerajaan sedia ada selain tidak terpengaruh dengan bekas pemimpinnya yang sudah tidak bersama UMNO dan BN.

"Tumpuan kita adalah di kawasan Tungku, Kunak, Silam, Lahad Datu dan Batu Sapi di pantai timur serta Banggi, Pitas, Pintasan dan Menggaris di pantai barat selain beberapa lagi kawasan rumpun USBO yang akan dikenal pasti," katanya.

Sementara itu, Pandikar berkata USBO tetap dengan pendiriannya untuk kekal sebagai sebuah NGO yang menjadi kerabat BN dan tidak bercadang untuk menjadikannya sebagai sebuah parti politik.

Berita Harian X