Ahad, 26 March 2017 | 8:53pm

68 pelatih juruteknik Mercedes setahun

KUALA LUMPUR: Akademi Latihan Mercedes-Benz Malaysia (MBM) menyasarkan pengambilan 68 pelajar setahun bagi program latihan vokasional 'Advance Modern Apprenticeship' bagi melahirkan juruteknik berkemahiran tinggi untuk kenderaan Mercedes.


Dominic Wells. - Foto Amirudin Sahib

Pengurus Kanan akademi itu, Dominic Wells, berkata ia penting dalam membina kapasiti kepakaran juruteknik mencukupi untuk pengedar Mercedes serantau, sejajar pembangunan teknologi automotif termaju gergasi Jerman itu.

Selain menawarkan kelayakan standard antarabangsa dan merasai pengalaman sendiri, katanya, pelajar turut disediakan biasiswa penuh, termasuk elaun RM800 sebulan, serta jaminan peluang pekerjaan di pengedar rasmi Mercedes di seluruh negara.

Beliau berkata, ini akan mengukuhkan komitmen MBM dalam membangunkan kepakaran generasi muda tempatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, khususnya membabitkan teknologi termaju, kenderaan cekap tenaga dan kenderaan elektrik.

"Susulan sambutan menggalakkan daripada program latihan Akademi Latihan MBM, kami turut menambah kapasiti latihan kepada lebih 2,000 hari latihan setahun. Ia bagi membolehkannya beroperasi sebagai bengkel sebenar menerusi simulasi persekitaran kerja ruang latihan termaju setanding standard latihan Daimler AG Global.

"Kami menyasarkan sekitar 90 peratus daripada kuota pelajar adalah dari Malaysia. Malah, menerusi teknologi termaju yang ditempatkan di akademi ini membolehkan pelatih dari Asia Pasifik lain datang menambah kemahiran sejajar perkembangan teknologi automotif," katanya ketika ditemui BH selepas pelancaran Wisma Mercedes-Benz di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Akademi Latihan MBM turut menempatkan Ibu Pejabat Mercedes-Benz Malaysia, Mercedes-Benz Services Malaysia, Daimler Tss GmbH dan MBM Training Academy di bawah satu bumbung.

Sementara itu, Pengarah Latihan Global, Daimler AG, Joerg Himmelmann berkata, syarikat meletakkan harapan tinggi kepada Malaysia sebagai pusat latihan serantau baharu kumpulan sebaris dengan 130 pusat latihan yang dimiliki Mercedes-Benz di seluruh dunia.

Katanya, beliau bersama pasukannya dari Jerman akan turut 'turun padang' ke Malaysia untuk memberi latihan kepakaran, selain bertanggung jawab membangunkan latihan kumpulan di seluruh dunia.

"Kami memang meletakkan Malaysia sebagai pusat latihan paling berdaya saing di pasaran serantau kerana program yang dibangunkan di sini tidak hanya untuk program vokasional, tetapi juga bagi semua program kelayakan lanjutan untuk staf kami," katanya.

"Mercedes-Benz melabur dengan banyak dalam membangunkan kepakaran tenaga kerjanya kerana kami yakin untuk menjadi terbaik adalah dengan memiliki tenaga kerja yang terbaik," katanya.

Berita Harian X