Jumaat, 24 March 2017 | 10:08pm

Barcelona didenda penyokong serbu padang


UEFA mendenda Barcelona selepas peminat kelab gergasi Catalan itu menceroboh padang bagi meraikan kemenangan ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam kempen Liga Juara-Juara, baru-baru ini. - Foto www.espnfc.com

NYON, Switzerland: Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mendenda Barcelona selepas peminat kelab gergasi Catalan itu menceroboh padang bagi meraikan kemenangan ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam kempen Liga Juara-Juara, baru-baru ini.

Selain itu, badan induk bola sepak Eropah berkenaan turut mendenda tiga lagi kelab atas insiden serupa dalam saingan Liga Juara-Juara dan Liga Europa.

UEFA dalam kenyataannya berkata, denda AS$20,500 (RM90,722) dikenakan terhadap Barcelona selepas kemenangan 6-1 di Nou Camp, termasuk hukuman mandatori selepas sekurang-kurangnya lima pemain kelab berkenaan dilayangkan kad kuning atau merah.

Kelab Perancis, Saint-Etienne pula perlu membayar AS$54,000 (RM238,977) selepas tindakan tidak sepatutnya oleh penyokongnya, selain menyalakan bunga api di Old Trafford susulan kekalahan 3-0 kepada Manchester United.

Napoli pula didenda AS$41,000 (RM181,445) atas beberapa kesalahan ketika kekalahan 3-1 di laman sendiri kepada Real Madrid.

UEFA dalam pada itu berkata, Rostov juga perlu membayar denda AS$17,300 (RM76,561) berikutan peminatnya menyalakan bunga api di stadium Sparta Prague, bulan lalu. - AP

Berita Harian X