Rabu, 22 March 2017 | 6:33pm
MOHD Sirhajwan Idek bersama penerima Hadiah Guru Global 2016, Hanan Al Hroub di Dubai. - Foto ihsan Mohd Sirhajwan Idek

Kongsi pengalaman penerima Hadiah Guru Global


MOHD Sirhajwan Idek.

KUALA LUMPUR: Walaupun tidak tersenarai dalam kelompok 10 finalis Hadiah Guru Global 2017 di Dubai, Isnin lalu, namun berada pada senarai 50 guru terbaik anugerah berprestij itu memberi inspirasi kepada guru dari Malaysia, Mohd Sirhajwan Idek, 29, untuk menjejaki kejayaan mereka.

Guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah itu berkata, berada dalam dewan kemasyhuran hadiah berprestij itu membolehkannya berkongsi pengalaman dengan penerima anugerah tahun ini, Maggie MacDonnell dari Kanada dan penerima tahun lalu, Hanan Al Hroub dari Palestin.

Bagaimanapun katanya, hasrat beliau untuk berjumpa dengan satu-satunya anak Malaysia yang pernah berada dalam senarai 10 finalis pada 2015, iaitu Dr Madenjit Singh tidak kesampaian kerana guru mengajar di Kemboja itu tidak hadir acara berkenaan.

"Ia adalah satu pengalaman yang luar biasa, dewan kemasyhuran Hadiah Guru Global sebuah tempat menakjubkan dipenuhi individu hebat, ia memberi inspirasi kepada saya untuk menjejaki kejayaan mereka.

"Saya tidak sedih walaupun tidak berada dalam senarai 10 finalis, tetapi begitu gembira apabila MacDonnell dari Kanada menang, dia melakukan yang terbaik daripada kita semua, dia benar-benar berhak dan saya mendapat inspirasi dari beliau," katanya kepada BH, hari ini.

Pemenang hadiah anjuran Yayasan Varkey itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$1 juta (RM4.43 juta).

Hadiah disampaikan Perdana Menteri dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum yang juga penaung yayasan berkenaan.

Berita Harian X