Rabu, 22 March 2017 | 1:44pm

Hentikan khidmat botox tidak sah: KKM


DATUK Seri Dr S Subramaniam. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan memberi amaran kepada salon kecantikan yang menyediakan rawatan suntikan botox atau yang bersifat estetik tanpa kebenaran supaya menghentikan kegiatan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata perkhidmatan berkenaan boleh memudaratkan pengguna kerana salon berkenaan tidak layak melakukan prosedur kecantikan yang biasanya, dijalankan doktor dengan kepakaran diiktiraf kementerian.

"Misalnya, suntikan botox untuk kali ke-10 mungkin tidak ada kesan, tetapi suntikan ke-11 menyebabkan muka pengguna rosak teruk. Kementerian tidak mahu ambil risiko sebegini.

"Salon kecantikan boleh menyediakan prosedur kosmetik, yang menggunakan bahan untuk kegunaan luaran badan bagaimanapun, prosedur bersifat estetik termasuk memasukkan ubat-ubatan ke dalam badan hanya boleh dilakukan pengamal perubatan, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng), di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memantau salon kecantikan kerana ia didaftarkan di bawah kementerian itu.

Ketika menjawab pertanyaan lisan Khoo Soo Seang (BN-Tebrau), Dr Subramaniam berkata dua kesalahan yang sering dilakukan salon kecantikan adalah menggunakan premis perniagaan sebagai lokasi menyediakan rawatan selain bahan terlarang.

"Salon kecantikan perlu mematuhi Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 atau boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 300,000 atau penjara tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kesalahan menggunakan bahan terlarang mengikut Akta Jualan Dadah 1952 - Penjualan Racun Kumpulan B Tanpa Preskripsi dan Penjualan Ubat-ubatan Yang Tidak Berdaftar akan dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Berita Harian X