Rabu, 22 March 2017 | 1:34pm

AIFW bermula 30 Mac ini


ANTARA pereka fesyen yang terlibat ialah, Dian Pelangi(kiri) dan Melanie Elturk.

KUALA LUMPUR: Mengangkat inspirasi warna-warni dunia fesyen Islamik dan sebagai usaha mengembangkan lagi industri berkenaan, Asia Islamic Fashion Week 2017 (AIFW 2017) anjuran AIFW Event akan berlangsung pada 30 Mac hingga 2 April depan.

Ia adalah acara dagangan yang direka khusus dalam mempersembahkan gabungan kesantunan fesyen dengan gaya terkini yang tidak lari daripada konteks Islamik.

AIFW 2017 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari jam 10 pagi hingga 8 malam. Ia akan menjadi ruang untuk semua pihak mendekati dan memiliki aliran mutakhir dalam persalinan busana, aksesori, kosmetik dan sumber berinspirasi Islam.

Bertemakan 'Memperkenalkan Asia Sebagai Pusat Global Fesyen Islamik', AIFW 2017 bercita-cita menjadi ruang pasaran bagi fesyen dan gaya hidup Islamik berpengaruh di Asia, dengan menyediakan medan bagi komuniti bisnes fesyen Islamik bertukar pengalaman dan pengetahuan.

Lebih 180 peserta pameran, 100 pereka, 200 pembeli dagangan antarabangsa, pencetus pengaruh fesyen, eksekutif bisnes, jurugambar fesyen dan media dari lebih 20 negara dijangka mengambil bahagian.


MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) bersama pereka dan penaja pada sidang media Asia Islamic Fashion Week 2017 (AIFW 2017) 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

Tiga elemen utama ingin disampaikan ialah menjadi platform untuk rangkaian perniagaan fesyen dan gaya hidup Islamik yang mapan serta menguntungkan.

Daripada jenama mewah hingga aliran terkini fesyen yang santun, acara ini membawakan peserta pameran dari seluruh dunia yang menjadi nadi bisnes fesyen Islamik.

Selain itu, elemen kedua ialah memperkenalkan gaya terkini fesyen Islamik daripada pereka terkenal, peruncit terunggul, butik dan pereka fesyen bebas dari Malaysia, Brunei, Perancis, Belanda, Amerika Syarikat, Jepun dan Arab Saudi. Persembahan di pentas peragaan adalah sesuatu yang wajib disaksikan.

Antara pereka fesyen dan jenama yang bakal memeriahkan AIFW 2017 ialah Dian Pelangi, Cosry, Karina Ng, Padusi Couture, Adi Long, Ana Abu, Mumu Carves, Ash & Anas, General Product Amy Search, Khalif by Erma Fatima dan tidak ketinggalan Black Swan Couture dari Dubai, Barjis (London), Chenille dan Amjadd (Paris).

Elemen ketiga ialah interaksi fesyen dalam memperkayakan orang Islam dengan pengetahuan mengenai fesyen Islamik berasaskan nilai Islamik menerusi sesi perbincangan interaktif oleh panel pelbagai bidang dalam industri fesyen dan perdagangan Islamik.

AIFW turut mengumumkan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penaung.

Berita Harian X