Rabu, 22 March 2017 | 11:06am

3,000 peserta bakal sertai TBW2017


PRESIDEN Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu (PGPNT), Tengku Seri Temenggung Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud. - Foto Sharul Hafiz Zam

KUALA TERENGGANU: Terengganu Bike Week 2017 (TBW2017) bermula berlangsung Isnin ini hingga 2 April akan menjadi perhimpunan permotoran terbesar di Terengganu dengan 3,000 penyertaan pemilik motosikal berkuasa tinggi.

Presiden Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu (PGPNT), Tengku Seri Temenggung Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud, berkata selain peserta dari Malaysia, TBW2017 tahun ini juga mendapat sambutan kira-kira 1,000 peserta dari luar negara termasuk Singapura, Thailand dan Brunei.

Katanya, penganjuran kali ini berbeza kerana PGPNT bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mempromosi Visit Beautiful Terengganu 2017 (VBT2017).

"Ini adalah penganjuran kali keenam dan pelbagai program dilaksanakan. Ia membabitkan jumlah peserta paling ramai dan pelbagai aktiviti sampingan seperti pameran dan jualan turut dianjurkan di Dataran Batu Buruk dan di Dataran Permata Seberang Takir," katanya pada sidang media TBW2017 di sini, malam tadi.

Katanya, pihaknya akan menonjolkan pelbagai aktiviti dan warisan negeri ini kepada peserta terutama mereka yang datang dari luar Terengganu.

"Pada 31 Mac, semua peserta akan berkumpul dan kita akan menjemput penunggang dari luar negara dan pada 1 April untuk mengadakan konvoi muhibah di Kampung Baru Seberang Takir, Kuala Nerus.

"Peserta akan didedahkan dengan aktiviti kebudayaan masyarakat setempat termasuk pembuatan keropok lekor dan program amal," katanya.

Berita Harian X