Sabtu, 18 March 2017 | 12:35pm

Aksi 'tutup buku' Bolt di Jamaica


GAMBAR fail, jaguh pecut dunia, Usain Bolt menunjukkan isyarat selepas memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Rio tahun lalu.

KINGSTON, Jamaica: Usain Bolt dan pemegang rekod dunia, David Rudisha, Wayde van Niekerk serta raja jarak sederhana, Mo Farah, menjadi tumpuan pada kejohanan olahraga Grand Prix JN Racers yang dijadual 10 Jun ini, umum penganjur, semalam.

Kejohanan berkenaan dilabel sebagai 'hormat kepada legenda' yang mana ia menjadi perlumbaan profesional terakhir Bolt di Jamaica dengan pemenang lapan pingat emas Olimpik itu akan mengakhirinya dalam acara 100 meter (m).

"Ia akan menjadi kejohanan terakhir saya di negara sendiri. Saya mungkin mengalirkan air mata sekali pun saya bukan seseorang yang beremosi ketika mengakhirinya di tempat di mana saya bermula di Jamaica," kata Bolt.

"Perasaan saya baik. Sebenarnya saya memperoleh beberapa larian dalam siri Nitro pada Januari dan kembali untuk berlatih. Saya berasa bagus, jurulatih juga gembira dengan kelancarannya dan ia petunjuk yang baik.

"Saya tidak mencatat masa yang pantas pada awal musim, jadi bagi saya untuk berlari dengan catatan 9.7 saat (s) sudah cukup baik dan saya fikir ia sudah mencukupi untuk mengatakan ia adalah masa yang istimewa."

Jurulatih, Glen Mills tidak meragui Bolt bersedia memberikan senyuman kepada peminatnya.

"Berdasarkan tahap diletakkan, saya yakin Bolt berada dalam kedudukan terbaik untuk memberikan persembahan kepada peminat," kata Mills.

Bolt akan menamatkan kariernya di balapan pada Kejuaraan Dunia di London, Ogos ini.

Selain Bolt, pemenang dua pingat emas acara 800m, Rudisha dari Kenya turut akan beraksi selain pelari Britain, Farah yang turut memiliki dua pingat emas di Olimpik dalam acara 5,000m dan 10,000m.

Pemegang rekod dunia dalam acara 400m, Van Niekerk juga akan beraksi dengan Bolt memberi bayangan yang rekod 200m, 19.19s yang dipegangnya berkemungkinan mampu dipecahkan pelari Afrika Selatan itu yang memiliki rekod terbaik 19.94s.

"Saya baru mengenalinya, namun dia seorang yang mempunyai keazaman tinggi dan dia berlatih dengan amat kuat," kata Bolt. - Reuters

Berita Harian X