Sabtu, 18 March 2017 | 12:06am
CHEF Leoniel Dg menyusun biskut coklat cip untuk dibakar. - Foto Nik Hariff Hassan
CARA membuat biskut coklat cip dengan menggunakan mentega Golden Churn yang disajikan oleh Chef Leoniel Dg. - Foto Nik Hariff Hassan
CARA membuat biskut Chocolate Cookies dengan menggunakan mentega Golden Churn yang disajikan oleh Chef Leoniel Dg di Alliance Francaise, Lorong Gurney Kiri di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan

Biskut coklat cip


BISKUT coklat cip disajikan oleh Chef Leoniel Dg. - Foto Nik Hariff Hassan

Biskut coklat cip rangup, manis dan penuh rasa coklat, lazimnya digemari pelbagai peringkat usia.

Cara adunan, bahan bertepatan mengikut sukatan dan cara memasak menjadikannya lebih rangup setanding di kedai roti.

Cef dan pemilik kafe Chez Leoniel, Leoniel Dg, berkata bahan berkualiti adalah syarat utama dalam menghasilkan biskut yang rangup, enak dan tekstur lembut selain mencampur bahan bersama kekacang mengikut kreativiti masing-masing.

"Ketika menghasilkan biskut, ia sebenarnya mengasah bakat dan kreativiti seseorang untuk menghias atau menambah bahan untuk menjadikannya lebih enak. Misalnya kekacang seperti, gajus, badam walnut atau oat serta kismis.

"Kawalan suhu amat penting sama ada anda mahukan ia kenyal atau rangup. Pendekkan sedikit tempoh membakar jika anda mahu ia bertekstur kenyal manakala lebihkan 10 minit jika anda mahu ia rangup apabila digigit," katanya.

 

Jenis coklat cip

Leoniel berkata, terdapat dua jenis coklat cip berbeza iaitu coklat cip bake stable dan coklat cip masakan yang mana kedua-duanya mempunyai teksktur boleh keras atau bertahan pada suhu bilik selepas dicairkan.

"Untuk biskut kita gunakan coklat cip masakan supaya ia boleh digaul bersama adunan tepung. Ia tidak keras selepas dicairkan berbanding coklat cip bake stable yang akan terus keras selepas dialih dari haba sesuai untuk hiasan," katanya.

Coklat cip bake stable boleh digunakan untuk menghias iaitu mencelup biskut ke dalamnya selepas siap dibakar. Lapisan coklat pada luaran akan terbentuk bagi menjadikannya ia lebih enak.

Minggu ini, Aroma Kulinari berkongsi resipi biskut coklat cip yang ringkas dan mudah.

 


RAMUAN utama untuk membuat biskut Chocolate Cookies dengan menggunakan mentega Golden Churn yang disajikan oleh Chef Leoniel Dg. - Foto Nik Hariff Hassan

Biskut coklat cip

Bahan A;

150 gram (g) mentega

120g gula

120g gula perang

4g garam

 

Bahan B;

90g telur

5g pewarna vanila

300g tepung

4g serbuk penaik

400g coklat cip

120g kacang badam (mengikut kreativiti)

 

Cara menyediakan;

 

1.Panaskan ketuhar pada suhu 185 darjah celcius.

2.Gaul bahan A sehingga sebati.

3.Masukkan telur dan pewarna vanila dan adun hingga sebati.

4.Ayak tepung bersama serbuk penaik dan campur pada adunan tadi.

5.Masukkan coklat cip dan kacang badam. Gaul sebati.

6.Dengan menggunakan sudu ais krim, buat bentuk bulat dan letak atas dulang pembakar.

7. Bakar selama 25 hingga 30 minit. Angkat dan sedia untuk dimakan.

 

Tip menyimpan mentega;

 

Masukkan dalam bekas plastik tanpa udara dan simpan dalam peti beku

Simpan di dalam peti sejuk untuk proses pencairan yang lebih baik

Walaupun ia mampu bertahan selama enam bulan hingga setahun, ada baiknya ia dibekukan sebelum digunakan

 

Berita Harian X