Jumaat, 17 March 2017 | 5:25pm

RHB sasar VantageLife raih premium RM10j


PENGARAH Eksekutif Perbankan Runcit RHB Banking Group, U Chen Hock. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd (RHB Bank) dan rakan bankasurans, Tokio Marine Life Insurance Malaysia Bhd (Tokio Marine) melancarkan RHB Prime VantageLife, pelan insuran hayat berkaitan pelaburan terhad.

Produk baharu itu membolehkan pemegang polisi mendapat jaminan kewangan hingga RM1.5 juta tanpa memerlukan sebarang pemeriksaan perubatan.

Pengarah Eksekutif Perbankan Runcit RHB Banking Group, U Chen Hock, berkata menerusi RHB Prime VantageLife, ia menyasar untuk meraih premium berjumlah RM10 juta dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Pelan ini adalah penyelesaian kekayaan baharu bagi memperkukuhkan segmen Affluent (mewah) yang memberi tumpuan melindungi kekayaan pelanggan.

"Sebagai tambahan yang eksklusif bagi pelanggan mewah kami, kami menawarkan pakar pemegang amanah dalaman untuk memastikan warisan dan kekayaan dipelihara demi untuk generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Antara keistimewaan RHB Prime VantageLife adalah berkaitan dengan fleksibiliti di mana ia menawarkan tiga pilihan dengan bayaran premium dan perlindungan berbeza.

Selain itu, pemegang polisi dibenarkan untuk melakukan penambahan nilai secara tetap atau sekali saja dalam dana polisi dana pelaburan pada bila-bila masa untuk meningkatkan pengumpulan kekayaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tokio Marine, Toi See Jong, berkata syarikat itu kekal komited dengan usaha sama bersama RHB Bank menerusi penawaran perlindungan insurans lebih baik kepada pemegang polisi.

"Dengan RHB Prime VantageLife, kami menyedari betapa pentingnya perlindungan kewangan kepada keluarga," katanya.

INFO:

RHB Prime VantageLife

* Perlindungan insurans tinggi bermula dengan jumlah asas minimum RM500,000

* Pendaftaran permohonan mudah sehingga RM1.5 juta

* Pembayaran premium dan perlindungan berbeza

* Peluang melabur dalam Tokio Marine-Managed Fund

Berita Harian X