Rabu, 15 March 2017 | 3:05pm

Kanak-kanak dua tahun maut dipercayai didera

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun lima bulan maut selepas tidak sedarkan diri ketika di bawah jagaan pengasuhnya di Apartmen Impian Baiduri, Seksyen 51A di sini, petang semalam.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 5.40 petang ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini dan punca kematiannya dipercayai didera.

Ibu mangsa yang bekerja sebagai juruwang dan menetap di Sea Park di sini, dikatakan menghantar anaknya itu ke rumah pengasuh kira-kira jam 1 petang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata lebih kurang sejam selepas itu, ibu mangsa menerima satu mesej melalui WhatsApp daripada pengasuh mengatakan anaknya dalam keadaan tidak sihat, muntah serta badannya lemah.


KETUA Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din. - Foto Zulfadhli Zulkifli

"Kira-kira jam 4 petang, ibu mangsa ke rumah pengasuh untuk mengambil anaknya sebelum mendapati kanak-kanak itu sudah tidak sedarkan diri.

"Wanita berusia 20-an itu bergegas membawa anaknya ke PPUM, namun doktor yang merawatnya mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 5.40 petang," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Laporan bedah siasat PPUM mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat hentakan kuat di bahagian abdomen.

"Setakat ini, kita sudah tahan empat suspek iaitu ibu mangsa dan teman lelakinya serta pengasuh dan suaminya, kesemuanya berusia lingkungan 20-an dalam operasi di Petaling Jaya malam tadi," kata beliau sambil menambah semua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X