Rabu, 15 March 2017 | 12:02am

Seni halus lestarikan budaya Kelantan


MOHD Adzman (dua dari kiri) bersama pelajar menunjukkan lukisan Art For Everyone dan karya seni yang mempunyai kaitan dengan kebudayaan negeri Cik Siti Wan Kembang yang dipamerkan di PMNK. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Keindahan budaya dan cara hidup yang melingkari kehidupan masyarakat berbilang bangsa di Kelantan dilestarikan melalui seni halus.

Bertujuan mengelak budaya atau corak kehidupan tradisional daripada terhakis, Pameran Lukisan dan Karya Seni Pelajar Tahun Akhir Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan Kampus Machang di Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK) di sini yang berlangsung hingga 28 Februari.

Bertemakan Art For Everyone, ia mempamerkan lebih 1,000 lukisan dan karya seni yang mempunyai kaitan dengan kebudayaan negeri Cik Siti Wan Kembang kepada pengunjung.

Pensyarah Jabatan Seni Halus UiTM Kampus Machang, Mohd Adzman Omar, berkata lukisan yang menggambarkan sejarah dan kehidupan masyarakat di negeri menjadi tema wajib dalam pembelajaran jurusan seni halus di universitinya.

Penceritaan melalui lukisan jadi keutamaan

Katanya, penceritaan melalui lukisan menjadi keutamaan dalam penilaian markah kepada pelajar tahun akhir selain ia dinilai melalui beberapa elemen penting dalam lukisan iaitu corak dan penggunaan warna yang menarik.

"Penuntut program seni halus di UITM Kampus Machang akan ditonjolkan dengan budaya, cara kehidupan, makanan dan permainan tradisional masyarakat di Kelantan.

"Ada lukisan pelajar yang menjadikan makanan tradisi di negeri ini sebagai subjek dengan menampilkan elemen nasi, ulam-ulaman dan budu, sekali gus menghidupkan suasana kenegerian," katanya kepada Sastera&Budaya di sini.

Sementara itu, Pelajar Semester Empat Diploma Jurusan Seni Halus UiTM, Nur Izzati Najwa Ahmad Daud, berkata melalui lukisan, pelukis mampu mengangkat warisan sesebuah budaya.

"Saya bercita-cita untuk menjadi pelukis yang dapat menghasilkan lukisan bermakna selain meninggalkan kesan kepada orang yang melihat.

"Antara lukisan saya yang dipamerkan adalah lukisan gabungan elemen barangan tradisional lama, iaitu tembaga dengan buah-buahan kampung seperti pisang," katanya.

Pameran dan Jualan Karya Seni UiTM itu buat julung kali diadakan dengan kerjasama Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

Berita Harian X