Selasa, 14 March 2017 | 8:38pm

Wartawan akhbar tabloid mati ditembak

MANILA: Seorang wartawan kontroversi maut ditembak penyerang bersenjata, dalam kes terbaru membabitkan wartawan di Filipina.

Filipina sekian lama dikategorikan sebagai antara negara paling berbahaya di dunia untuk golongan wartawan.

Joaquon Briones, penulis ruangan pojok di akhbar tabloid Remate, ditembak di bahagian belakang badan oleh penyerang bermotosikal di wilayah Masbate yang terkenal dengan pelbagai konflik politik dan kes jenayah.

Pengurus Pengarang Remate, Lydia Buena, berkata beliau percaya pembunuhan Briones ada kaitan dengan beberapa laporan 'berani' yang dihasilkannya.

"Mendiang menerima banyak ugutan bunuh kerana rencana yang dihasilkan mengenai Masbate.

"Bagaimanapun, beliau tidak pernah gentar. Walaupun memiliki ramai musuh daripada kalangan komuniti setempat, beliau terus menulis," katanya.

Penulisan beliau yang disiarkan tiga kali seminggu, kebanyakannya berkisar mengenai isu perjudian, penyalahgunaan dadah dan kegiatan perikanan secara haram.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan Filipina berkata, Briones adalah wartawan kedua yang maut dibunuh sejak Presiden Rodrigo Duterte mengambil alih pemerintahan pada Jun tahun lalu. - AFP

Berita Harian X