Selasa, 14 March 2017 | 8:09pm

Terumbu di Raja Ampat musnah dilanggar kapal


SEBAHAGIAN besar terumbu karang di perairan Raja Ampat rosak teruk selepas dilanggar sebuah kapal persiaran British. - Foto AFP

SORONG, Indonesia: Sebahagian besar terumbu karang di perairan Raja Ampat rosak teruk selepas dilanggar sebuah kapal persiaran British.

Kumpulan penyelidik dan pegawai tempatan berkata, perairan Raja Ampat yang terletak di timur Indonesia sangat terkenal dalam kalangan penyelam dan pelancong asing berikutan kepelbagaian hidupan marin di kawasan itu.

Raja Ampat yang terdiri daripada gugusan ratusan pulau kecil turut diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai habitat hidupan marin paling pelbagai di dunia.

Dalam kejadian itu pada awal bulan ini, kapal Caledonian Sky seberat 4,200 tan melanggar terumbu di sekitar Pulau Kri ketika air surut, semasa dalam perjalanan pulang dari ekspedisi melihat burung bersama pelancong.

Kapal itu yang membawa 102 penumpang dan 79 anak kapal tersadai dan terpaksa ditunda sebelum meneruskan perjalanan.

Penyelidik dari Universiti Papua, Ricardo Tapilatu, berkata insiden berkenaan merosakkan kawasan terumbu karang seluas 13,500 meter persegi yang memerlukan peruntukan hingga ASD16.2 juta (RM72.06 juta) untuk dibaik pulih.

Ia turut mendatangkan kemarahan kepada penduduk setempat yang bergantung sepenuhnya kepada kecantikan semula jadi Raja Ampat sebagai punca pendapatan. - AFP

Berita Harian X